Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan 3Q20 naik 0.6% | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan 3Q20 naik 0.6%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) bagi suku tahun ketiga 2020 (3Q20) meningkat 0.6% kepada 110.3 berbanding 109.6 pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

Subsektor utama yang menyumbang kepada peningkatan indeks berkenaan adalah pengangkutan (1.7%), aktiviti hartanah (1.7%), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (1.5%), kesihatan (1.3%) dan pendidikan (0.8%). 

Bagaimanapun, kesenian, hiburan dan rekreasi serta maklumat dan komunikasi masing-masing menunjukkan penurunan 1.4% dan 0.1%, manakala Indeks Profesional tidak berubah.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbandingan suku tahunan menunjukkan indeks itu meningkat 0.3%. 

“IHPrP subsektor pengangkutan meningkat sebanyak 1.7% pada 3Q20 berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Kenaikan ini disumbangkan oleh indeks pengangkutan penumpang udara (5.3%), pengangkutan muatan udara (3.6%), aktiviti pos (3.1%), aktiviti kurier (2.8%), pengangkutan air laut dan pesisir pantai (0.6%) dan pengangkutan darat lain (0.2%).

“Bagi perbandingan suku tahunan, indeks itu meningkat 1.1% berbanding suku tahun sebelumnya,” kata Mohd. Uzir dalam siaran Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan, Suku Tahun Ketiga 2020 hari ini. 

Perbandingan tahunan untuk 3Q20 menunjukkan IHPrP bagi penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 1.5%. 

Perbandingan berasaskan suku tahunan juga mencatat kenaikan 0.2%. 

Sementara itu, IHPrP bagi subsektor maklumat dan komunikasi mencatatkan penurunan 0.1% pada 3Q20 berbanding suku tahun sebelumnya. 

Penurunan itu disebabkan oleh indeks aktiviti telekomunikasi tanpa wayar yang menurun 0.2%. 

Perbandingan secara suku tahunan menunjukkan tiada perubahan bagi indeks berkenaan. 

Tambah Mohd. Uzir, IHPrP bagi subsektor aktiviti hartanah meningkat 1.7% berbanding tahun sebelumnya. 

“Bagi perbandingan suku tahunan, IHPrP subsektor ini meningkat 1.3%  yang disumbangkan oleh aktiviti hartanah atas dasar bayaran atau kontrak (1.3%).

“Perbandingan tahunan bagi suku tahun ketiga 2020 menunjukkan IHPrP bagi subsektor profesional tidak menunjukkan sebarang perubahan. Walau bagaimanapun, bagi perbandingan suku tahunan, IHPrP bagi subsektor ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1%.

“IHPrP bagi subsektor pendidikan meningkat sebanyak 0.8% pada 3Q20 berbanding suku tahun yang sama tahun 2019. Berbanding suku tahun sebelumnya, IHPrP bagi subsektor pendidikan meningkat 0.2 % pada 3Q20,” jelas Mohd. Uzir. 

Dalam pada itu, IHPrP bagi subsektor kesihatan merekodkan peningkatan sebanyak 1.3% bagi perbandingan tahun ke tahun. 

Bagi perbandingan dengan suku tahun sebelumnya, IHPrP bagi subsektor itu mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1%.

IHPrP bagi subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi menurun 1.4% pada 3Q20 berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

Penurunan itu didorong oleh indeks aktiviti perjudian dan pertaruhan (1.6%) dan aktiviti hiburan dan rekreasi lain (0.2%), namun indeks bagi aktiviti sukan meningkat sebanyak 0.2%. - DagangNews.com