Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan catat peningkatan 1% pada suku keempat 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan catat peningkatan 1% pada suku keempat 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) mencatatkan sebanyak 115.5 mata pada suku keempat 2023, peningkatan 1% berbanding 1.4% pada suku ketiga 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kebanyakan subsektor merekodkan peningkatan harga pada suku tahun ini. 

 

Beliau berkata, subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi meningkat sebanyak 5.5% disumbangkan oleh peningkatan aktiviti perjudian dan pertaruhan (6.2%). 

 

Katanya, penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman merekodkan kenaikan 3.4% disebabkan oleh kenaikan dalam aktiviti perkhidmatan minuman (4%) dan restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (3.8%). 

 

"Pada masa sama, subsektor lain yang mencatatkan kenaikan adalah pendidikan (1%), aktiviti hartanah (0.6%), kesihatan (0.3%) dan profesional (0.2%). 

 

"Namun begitu, indeks bagi pengangkutan mencatatkan penurunan negatif 0.5% disebabkan oleh pengangkutan udara penumpang (-2.7%). Sebaliknya, indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan IHPRP meningkat perlahan 0.1% berbanding 0.4% yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya. 

 

 

dosm

 

 

Katanya, kenaikan ini disumbangkan oleh penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.4%), aktiviti hartanah (0.3%) dan kesenian, hiburan dan rekreasi (0.3%). 

 

"Pada masa yang sama, kedua-dua subsektor pendidikan dan kesihatan juga merekodkan kenaikan 0.1%. 

 

"Sementara itu, indeks profesional dan maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah. Namun begitu, indeks pengangkutan mencatatkan penurunan perlahan negatif 0.1%," katanya.

 

Menurutnya, IHPRP meningkat 2.1% pada 2023, adalah sama seperti tahun sebelum ini. Selain maklumat dan komunikasi yang kekal tiada sebarang perubahan, subsektor lain mencatatkan peningkatan pada 2023. 

 

Tambahnya, penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 5.6%, pengangkutan mencatatkan peningkatan 2.9% dan kesenian, hiburan dan rekreasi naik 2.3%.


 
Subsektor lain yang mencatatkan peningkatan adalah pendidikan (1%), profesional (0.4%), kesihatan (0.3%) dan aktiviti hartanah (0.2%). - DagangNews.com