Indeks Harga Pengeluar terus menurun -2.9% pada Mac 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar terus menurun -2.9% pada Mac 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Kadar Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IPHR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang terus menurun kepada -2.9% pada Mac 2023 berbanding -0.8% pada Februari 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penguncupan ini disebabkan terutamanya penurunan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan serta perlombongan yang terus mencatatkan perubahan negatif selama tiga bulan berturut-turut pada 2023. 

 

Katanya, indeks buah tandan segar kelapa sawit terus jatuh untuk mencatatkan -43.5% pada Mac 2023 daripada -40.5% pada bulan sebelumnya, yang menyumbang kepada penurunan negatif dua digit -28.7% bagi indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang mencatatkan -26.1% pada Februari 2023.

 

"Indeks perlombongan turun -11.5% berbanding -6.5% pada Februari 2023 dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah turun -21.2% pada Mac 2023. 

 

"Sementara itu, indeks pembuatan meningkat 1.4% pada Mac 2023 berbanding 3% pada Februari 2023, disebabkan peningkatan indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (8.9%) dan pembuatan kelengkapan elektrik (5.3%). 

 

"Manakala bagi sektor utiliti, indeks bekalan air dan bekalan elektrik dan gas meningkat masing-masing sebanyak 3.3% dan 1.4%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.3% pada Mac 2023 berbanding penurunan -0.2% pada bulan sebelumnya. 

 

 

dosm

 

 

Beliau berkata, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 4.8%, seiring dengan pertumbuhan indeks penanaman tanaman kekal yang meningkat sebanyak 6.5%.

 

"Sektor bekalan elektrik dan gas juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5% pada Mac 2023. Sebaliknya, sektor perlombongan menyusut kepada -0.6%, dipengaruhi penurunan kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-1%) dan pengekstrakan petroleum mentah (-0.5%). 

 

"Indeks Pembuatan menurun -0.1% disebabkan penurunan pembuatan kok dan produk petroleum ditapis (-1.6%), pembuatan kimia dan produk kimia (-0.2%) dan pembuatan produk makanan (-0.1%). Sama seperti bulan sebelum ini, indeks bekalan air turun -0.3%," katanya.

 

Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan katanya, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya susut kepada -21% pada Mac 2023 berbanding Februari 2023 mencatatkan -16.9% disebabkan penurunan -25.2% bagi indeks bahan bukan makanan. 

 

Bagaimanapun katanya, bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 1.5% pada Mac 2023 berbanding Februari 2023 mencatatkan 3.3%, disebabkan peningkatan indeks bekalan (10.6%), bahan api yang diproses dan pelincir (6%) dan bahan serta komponen untuk pembinaan (3.8%). 

 

"Indeks barang siap meningkat 3.9% berbanding Februari 2023 yang mencatatkan 4% dengan indeks kelengkapan modal dan barangan pengguna siap masing-masing naik 5% dan 2.6%.

 

Menurut Mohd Uzir, dari segi perbandingan bulanan, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen kekal tidak berubah pada Mac 2023. 

 

Sementara itu katanya, kedua-dua indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan barang siap masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 1.5% dan 0.2%. - DagangNews.com