Indeks Harga Pengguna Januari susut 0.2% | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengguna Januari susut 0.2%

Indeks Harga Pengguna Januari susut 0.2%

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 0.2% pada Januari 2021 kepada 122.1 berbanding 122.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan IHP keseluruhan itu disebabkan oleh penurunan indeks Pengangkutan (-5.1%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-0.7%); Pakaian & Kasut (-0.4%) dan Restoran & Hotel (-0.1%) yang menyumbang 44.5% kepada keseluruhan wajaran.

 

"Walau bagaimanapun, Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.5% kepada 136.1 berbanding 134.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

"Kumpulan ini menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 1.8% dan diikuti Minuman Alkohol & Tembakau (0.7%); Kesihatan (0.7%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraaan Isi Rumah (0.2%) dan Pendidikan (0.2%)," katanya dalam laporan Indeks Harga Pengguna Malaysia bagi Januari 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 1.2% berbanding Disember 2020.
 

Peningkatan tersebut disumbangkan oleh Pengangkutan (3.7%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (2.6%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.3%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.2%).

 

Sementara itu, IHP tanpa bahan api meningkat 0.5% pada Januari 2021 kepada 113.6 berbanding 112.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

 

Tambah beliau, indeks teras meningkat 0.7% pada Januari 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

"Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.8%); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.2%), Kesihatan (0.7%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (0.5%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraaan Isi Rumah (0.2%) dan Pendidikan (0.2%).

 

"Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal, ujar beliau.

 

Mengulas berkaitan IHP mengikut negeri, beliau memberitahu, lima negeri iaitu Terengganu (0.3%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.2%), Kelantan (0.2%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (0.1%) dan Pahang (0.1%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional -0.2% pada Januari 2021 berbanding Januari 2020.

 

Kesemua negeri kecuali Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

 

"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang iaitu 2.4%. Diikuti oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.2%), Terengganu (2.0%), Kelantan (1.8%), Perak (1.6%) dan Negeri Sembilan (1.6%)," tambah beliau lagi. - DagangNews.com