Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia pulih kepada 2.7% pada Oktober 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia pulih kepada 2.7% pada Oktober 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) memulih kepada 2.7% pada Oktober 2023, dipacu prestasi kukuh sektor perlombongan, di samping pertumbuhan berterusan pengeluaran elektrik dan pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian kembali kepada momentum positif pada Oktober 2023, merekodkan pertumbuhan 2.7% tahun ke tahun berbanding negatif 0.5% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. 

 

Katanya, peningkatan pada Oktober 2023 merupakan tertinggi sejak Mei 2023 yang didorong prestasi kukuh sektor perlombongan sebanyak 8.7% (September 2023: -5.2%). 

 

"Pada masa yang sama, sektor elektrik dan pembuatan terus meningkat dengan masing-masing sebanyak 5.8% (September 2023: 2.5%) dan 0.9% (September 2023: 0.4%). 

 

"Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 2.2% iaitu menunjukkan kenaikan untuk tiga bulan berturut-turut selepas 1.1% yang direkodkan pada September 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, peningkatan pengeluaran pembuatan pada Oktober 2023 disokong pengembangan dalam industri berorientasikan domestik sebanyak 6.7% (September 2023: 5.8%). 

 

Katanya, kenaikan itu didorong terutamanya pertumbuhan dua digit sebanyak 10.6% dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler. 

 

 

DOSM

 

 

"Tambahan lagi, pembuatan produk prosesan makanan dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan turut memacu pertumbuhan dengan masing-masing mencatatkan 9.4% dan 6.8%.

 

"Sebaliknya, industri berorientasikan eksport yang menyumbang lebih kurang dua pertiga daripada pengeluaran pembuatan terus mengalami penurunan, namun dengan pertumbuhan negatif yang lebih kecil 1.5% pada Oktober 2023 (September 2023: -2%). 

 

"Penyusutan ini dipengaruhi terutamanya pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-4.3%); pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-4.0%); dan pembuatan kelengkapan elektrik (-2.5%)," katanya.

 

Beliau berkata, trend itu selari dengan eksport negara yang merosot 4.4% pada bulan tersebut, iaitu lebih baik daripada negatif 13.8% yang dicatatkan pada September 2023. 

 

Katanya, perbandingan dengan bulan sebelumnya, pengeluaran sektor pembuatan menyusut 1.3% berbanding positif 2.1% yang direkodkan pada September 2023.

 

Menurut Mohd Uzir, pengeluaran sektor perlombongan meningkat ketara sebanyak 8.7% pada Oktober 2023 (September 2023: -5.2%), iaitu mencatatkan pertumbuhan kukuh sejak September 2022 (15.7%). 

 

"Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan dua digit sebanyak 10.2% (September 2023: -1.4%) yang direkodkan dalam pengeluaran minyak mentah dan kondensat, manakala gas asli pulih kepada 7.6% (September 2023: -7.8%) pada bulan tersebut.

 

"Berbanding bulan September 2023, indeks perlombongan melonjak 16.7% berbanding kejatuhan 1.6% yang direkodkan pada bulan sebelumnya," katanya.

 

Beliau berkata, pengeluaran elektrik terus meningkat kepada 5.8% pada Oktober 2023, selepas pertumbuhan 2.5% pada bulan lalu.

 

Katanya, berbanding bulan sebelumnya, indeks elektrik meningkat 5.3% setelah mencatatkan penurunan 4% pada September 2023.

 

Tambahnya, IPP mengembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 1% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya  (Januari – Oktober 2022: 7.3%) dengan kesemua sektor menunjukkan pertumbuhan positif iaitu indeks elektrik (2.1%); indeks pembuatan (1.1%); dan indeks perlombongan (0.6%). - DagangNews.com