Indeks Pengeluaran Perindustrian melonjak 26% pada Mei | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian melonjak 26% pada Mei

 

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) melonjak 26% pada Mei 2021 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Menurut Jabatan Perangkaan, pertumbuhan IPP pada bulan tersebut disokong oleh pengembangan dalam kesemua indeks; indeks pembuatan (29.8%), indeks perlombongan (20.7%) dan indeks elektrik (7.9%).

 

Katanya, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 29.8% pada Mei selepas mencatatkan pertumbuhan 68% pada bulan sebelumnya. 

 

"Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Mei 2021 adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (34.8%), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (49.4%) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (68.9%). 

 

"Industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 25.3% manakala industri berorientasikan domestik meningkat 41.1%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Output sektor perlombongan tumbuh 20.7% pada Mei 2021 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

Kenaikan tersebut disebabkan oleh peningkatan dalam indeks gas asli (30.9%) dan indeks minyak mentah dan kondensat (8.6%).

 

Sementara itu, output sektor elektrik meningkat 7.9% pada Mei 2021 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com