Indeks Pengeluaran Perindustrian susut 0.1% pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian susut 0.1% pada Disember 2023 - DOSM

Penurunan Indeks Pengeluaran Perindustrian pada Disember 2023 disebabkan oleh penyusutan dalam sektor Pembuatan sebanyak negatif 1.4%. Gambar Simon Kadula
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Feb - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia susut 0.1% pada Disember 2023 selepas merekodkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut.

 

Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut disebabkan oleh penyusutan dalam sektor Pembuatan sebanyak negatif 1.4%.

 

"Sebaliknya, sektor Perlombongan dan Elektrik masing-masing mengekalkan momentum positif dengan mencatatkan 3.6% (November 2023: 1.9%) dan 4.6% (November 2023: 4.3%). 

 

"Perbandingan bulan sebelumnya, IPP terus merosot kepada 1.3%  berbanding negatif 0.9% yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut Dr. Mohd Uzir, kemerosotan pengeluaran Pembuatan dipengaruhi penurunan yang berterusan dalam industri berorientasikan eksport yang menurun sebanyak 4.1%. 

 

Katanya, penguncupan tersebut disebabkan terutamanya oleh kejatuhan dalam Pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-7.2%); Pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-4.6%); dan Pembuatan kelengkapan elektrik (-7.6%). 

 

dosm

 

 

"Penurunan ini juga mencerminkan prestasi eksport negara, yang mengalami kejatuhan secara berterusan kepada negatif yang lebih besar iaitu 10.0% pada Disember 2023.

 

"Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menyusut 3.3%,” jelasnya yang juga Ketua Perangkawan.

 

Kata beliau, industri berorientasikan domestik sebaliknya mengekalkan prestasi kukuh sebanyak 4.2% pada Disember 2023 berbanding 5.8% pada bulan sebelumnya.

 

"Pengembangan ini dipacu terutamanya oleh pertumbuhan 9.7% dalam Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan; diikuti oleh Pembuatan produk prosesan makanan pada 6.2%; dan Pembuatan produk galian bukan logam lain sebanyak 5.3%. 

 

"Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik menurun kepada negatif 1.1% berbanding peningkatan 3.7% pada November 2023,” ujarnya.

 

uzir
Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

 

Kata Dr. Mohd Uzir, Pengeluaran sektor Perlombongan berkembang sebanyak 3.6% pada Disember 2023 berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada November 2023. 

 

Jelasnya, peningkatan ini didorong oleh pengembangan 5.0% dalam pengeluaran Gas Asli (November 2023: 1.7%) dan Minyak Mentah & Kondensat yang tumbuh 1.6% (November 2023: 2.1%) pada bulan tersebut.

 

"Berbanding November 2023, indeks Perlombongan meningkat 2.8% berbanding negatif 1.8% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya.

 

Pada masa yang sama, kata Ketua Perangkawan itu, penjanaan Elektrik tumbuh 4.6% pada Disember 2023 selepas mencatatkan peningkatan 4.3% pada bulan lalu.

 

Berbanding bulan sebelumnya, indeks Elektrik memulih kepada 1.1% daripada negatif 4.7% yang direkodkan pada November 2023.

 

"Secara keseluruhan, pada suku tahun keempat 2023, IPP mencatatkan peningkatan 1.0% tahun ke tahun berbanding negatif 0.05% yang direkodkan pada suku tahun ketiga 2023. 

 

"Pada tempoh tersebut, sektor Perlombongan dan Elektrik meningkat masing-masing sebanyak 4.3% dan 4.9%. Sebaliknya, sektor Pembuatan menurun secara marginal sebanyak 0.2% pada suku tahun tersebut, meneruskan trend negatif untuk dua suku tahun berturut-turut. 

 

"Perbandingan dengan suku tahun ketiga 2023, IPP tumbuh 2.5% disokong terutamanya oleh sektor Perlombongan dan Pembuatan masing-masing pada 11.6% dan 0.6%," kata Dr Mohd Uzir.

 

Merumuskan kenyataannya mengenai prestasi IPP bagi tahun 2023, Ketua Perangkawan berkata, IPP mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.9% pada tahun 2023 berbanding 6.7% pada tahun 2022. 

 

"Semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu indeks Elektrik (2.5%); indeks Perlombongan (0.8%); dan indeks Pembuatan (0.7%),” katanya. - DagangNews.com