KUALA LUMPUR 3 April - Indonesia meterai kontrak pembelian 2 buah kapal selam Scorpene dengan firma Naval Group, Perancis yang akan dibina sepenuhnya di republik itu oleh syarikat tempatan, PT PAL Indonesia (PT PAL).
Pembinaan di limbungan Indonesia itu akan dilaksanakan melalui pemindahan teknologi oleh Naval Group.
Kerjasama Naval Group ini bukan sekadar pada pembinaan kapal selam, malah meliputi pembangunan kedaulatan Indonesia serta industri pertahanannya.
Scorpene Evolved yang bakal diperolehi Indonesia dilengkapi dengan sistem tenaga lithium ion (LiB).
Penggunaan bateri LiB membolehkan kapal selam untuk beroperasi lebih senyap dan mempunyai masa yang kurang untuk mengecas.
Ini dapat meningkatkan mobiliti taktikal kapal selam tersebut yang mana secara keseluruhannya Scorpene Evolved LiB boleh beroperasi selama 240 hari setahun.
Pemilihan Scorpene oleh Indonesia ini melebarkan lagi pasaran eksport kapal selam konvensional tersebut khususnya reputasi Naval Group.
Pengguna lain Scorpene ialah Chile sebanyak 2 buah, Malaysia (2), Brazil (4) dan India (6).
Perancis berusaha untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan negara sahabat di rantau Asia-Pasifik berikutan masalah perjanjian kapal selam dengan Australia.
Canberra menimbulkan kemarahan Paris pada 2021 apabila membatalkan perjanjian untuk membeli 12 kapal selam tempur kelas Barracuda daripada Naval Group apabila beralih kepada Amerika Syarikat dan Britain.
Usaha Indonesia untuk mendapatkan kapal selam Scorpene dilakar tiga tahun lalu apabila kedua-dua negara memeterai Perjanjian Kerjasama Pertahanan.
Melalui kerjasama itu, pihak berkuasa Indonesia telah memilih Naval Group dan PT PAL untuk membangunkan program kapal selam.
Kedua-dua syarikat telah bergabung tenaga melalui Perjanjian Perkongsian Strategik yang ditandatangani pada Februari 2022.
Langkah ini adalah komitmen tinggi dan kepercayaan kerajaan Indonesia terhadap keupayaan jurutera tempatan untuk memajukan teknologi pertahanan khususnya teknologi kapal selam.
Visi lebih besar Jakarta adalah untuk merealisasikan kemerdekaan industri pertahanan dengan cita-cita menguasai teknologi kapal selam.
Sebagai peneraju industri pertahanan maritim negara, PT PAL dilihat bersedia mengambil peranan tersebut.
Tiga tahun lalu, Indonesia menerima penyerahan rasmi kapal selam berkuasa diesel elektrik, KRI Alugoro 405 yang dibina dalam negara.
Kejayaan pembinaan kapal selam buatan anak tempatan ini meletakkan Indonesia sebagai negara pertama membina, menguji dan mentauliahkan kapal selam di rantau ini.
PT PAL ketika itu menjalin kerjasama dengan firma Daewoo Shipbuilding (DSME) dari Korea Selatan.
Indonesia pada 2011 memeterai perolehan tiga kapal selam kelas Nagapasa U209 bernilai AS$1.07 bilion dari DSME dengan dua buah dibina sepenuhnya di Korea Selatan.
Ia melengkapi dua kapal selam Type 209/1300 buatan Jerman iaitu KRI Cakra 401 dan KRI Nanggala 402 yang berusia 30 tahun, bagaimana pun KRI Nanggala karam dua tahun lalu.
Apabila Scorpene diterima nanti dalam tempoh lima tahun akan datang, Indonesia bakal menjadi pemilik armada kapal selam terbesar dan paling moden di rantau ini. - DagangNews.com