Indonesia bina dua kapal pengangkut logistik untuk Filipina, kukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri pertahanan maritim | DagangNews Skip to main content

Indonesia bina dua kapal pengangkut logistik untuk Filipina, kukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri pertahanan maritim

Perolehan dua kapal LPD baharu mengukuhkan lagi keupayaan maritim Filipina.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Indonesia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri pertahanan maritim serantau apabila memulakan peletakan tunas kapal Dok Pelantar Pendaratan (LPD) untuk tentera laut Filipina.

 

Syarikat pembinaan kapal terkemuka Indonesia, PT PAL telah diberi tanggungjawab membina tambahan kapal yang pertama bermula di limbungan PT Pal Indonesia di Surabaya.

 

Pemotongan keluli kapal atau keel laying ini menandakan permulaan proses fabrikasi untuk pembinaan kapal tersebut.

 

Ia merupakan satu detik bersejarah bagi PT PAL sebagai penanda aras kejayaan untuk menjadi salah sebuah syarikat pembinaan kapal global.

 

PT PAL kini selangkah untuk mendekatkan kedudukan dalam gabungan industri pertahanan Indonesia untuk menjadi sebagai 50 firma pertahanan terbaik dunia.

 

Majlis
Filipina memberi kepercayaan kepada PT PAL untuk membina dua kapal LPD tambahan.

 

Ini kerana bukan semua limbungan perkapalan di dunia mempunyai keupayaan untuk membina kapal sokongan logistik bersaiz besar seperti LPD.

 

Dalam konteks serantau, kemampuan PT PAL ini sangat luar biasa kerana untuk membina kapal sedemikian ia memerlukan pengetahuan teknologi, tenaga kerja serta kewangan yang besar.

 

Ketika ini status pembinaan LPD pertama sudah berada pada kadar 20.24%, manakala LPD kedua pula 13.34%. 

 

Progres dua kapal ini mendahului kemajuan sasaran yang ditetapkan, bermakna kapal berkemungkinan boleh diserahkan kepada Filipina lebih awal.

 

Dalam dokumen bidaan untuk tambahan dua kapal LPD ini, kapal pertama dijangka dihantar dalam tempoh 730 hari atau dalam tempoh dua tahun.

 

Kapal

 

Kapal

 

Manakala kapal kedua pula dijangka akan dihantar dalam tempoh 1,095 hari atau tiga tahun selepas menerima 'Notis untuk Meneruskan'.

 

LPD bersaiz sepanjang 123 meter ini dengan berat 7,200 tan mampu belayar selama 30 hari di laut.

 

Kontrak untuk dua kapal tambahan Landing Platform Dock ditandatangani pada Jun tahun lalu dan mempunyai kos keseluruhan projek sebanyak AS$101 juta.

 

Perolehan ini akan menambah dua LPD kelas Tarlac yang dibeli Filipina daripada PT PAL Indonesia iaitu Brp Tarlac (LD-601) dan Brp Davao Del Sur (LD-602).

 

Kapal pengangkut strategik tambahan diperlukan sebagai penggerak utama dalam armada Tentera Laut Filipina memandangkan geografi negara itu yang mempunyai banyak pulau.

 

Kapal
Kebolehan Indonesia membina kapal sokongan logistik bersaiz besar amat mengkagumkan negara serantau lain.

 

Kapal
LPD kelas Makasar jenis sama yang pernah ditawarkan PT PAL kepada TLDM.

 

Kapal LPD tambahan itu juga boleh menggantikan kapal logistik lama yang masih dalam perkhidmatan tentera lautnya. 

 

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) walaupun mempunyai keperluan mendesak untuk memiliki kapal seperti ini, tetapi hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

 

Ia bagi memberi laluan untuk perolehan Littoral Mission Ship (LMS) dan juga penyelesaian perolehan Littoral Mission Ship (LCS) serta program peningkatan keupayaan kombatan untuk aset sedia ada.

 

Dikatakan program kapal sokongan logistik TDLM ini hanya akan dimulakan pada Rancangan Malaysia ke-13 iaitu antara tahun 2026 sehingga 2030. - DagangNews.com