Industri sawit rugi RM10 bilion setahun akibat bergantung pada buruh asing | DagangNews Skip to main content

Industri sawit rugi RM10 bilion setahun akibat bergantung pada buruh asing

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kebergantungan industri sawit terhadap penggunaan tenaga buruh asing menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak RM10 bilion setahun berikutan buah masak tidak dituai.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, keadaan ini bertambah buruk dalam situasi pendemik COVID-19 yang berlarutan sejak tahun lalu.

 

Katanya, ini menyebabkan kekurangan pekerja dianggarkan sekitar 32,000 orang pada masa ini terutama di peringkat huluan.

 

Sehubungan itu, menurutnya, kementerian akan memberi fokus bagi pembangunan jentera ladang terutama bagi kerja-kerja penuaian buah sawit dan pengangkutan di ladang. 

 

"Penggunaan jentera perladangan dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi ladang serta strategi ke arah mengurangkan kerbergantungan yang tinggi kepada tenaga kerja asing dalam
perladangan sawit. 

 

"Penggunaan mekanisasi secara meluas di sektor perladangan juga akan menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit yang dikaitkan dengan persekitaran kerja yang kurang menarik berbanding sektor lain," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Webinar Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 yang dianjurkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) secara maya hari ini.

 

Sehingga kini, MPOB telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan kepada pihak industri dan usahawan tempatan. 

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 221 atau 31.17% teknologi dan inovasi MPOB telah berjaya dikomersialkan termasuk dalam kalangan usahawan kecil sederhana.

 

Pada TOT 2021, MPOB melancarkan empat teknologi baharu merangkumi teknologi kawalan penyakit tanaman sawit, penghasilan produk biojisim sawit bagi rawatan efluen kilang kelapa sawit dan kejenteraan ladang bagi
pengangkutan buah tandan segar.

 

Sementara itu, Mohd. Khairuddin berkata, kementerian telah mengumumkan penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP).

 

Ia dianggotai oleh penggiat industri, institusi penyelidikan, ahli akademik, kementerian dan MPOB bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan mekanisasi dan automasi ladang yang akan
mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi kecekapan penuaian buah sawit. 

 

Katanya, MARCOP akan memberi tumpuan terhadap teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 seperti penggunaan dron, robot dan sensor untuk operasi bersepadu dan sistematik. 

 

"Konsortium ini akan diberi mandat untuk mengembangkan teknologi dan inovasi melalui perkongsian kepakaran penyelidikan dan sumber bagi kemajuan industri sawit negara," katanya. - DagangNews.com