Industronics teroka kerjasama dengan SDIC bagi pengambilalihan 10% kepentingan dalam firma broker Hong Kong | DagangNews Skip to main content

Industronics teroka kerjasama dengan SDIC bagi pengambilalihan 10% kepentingan dalam firma broker Hong Kong

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Industronics Bhd. memperoleh pembiayaan sebanyak AS$1 bilion daripada syarikat pemegangan pelaburan milik kerajaan China, State Development & Investment Corporation Ltd (SDIC), membabitkan kerjasama dalam pengurusan aset dan perkhidmatan pasaran modal.

 

Ini menyaksikan kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang tidak mengikat bagi tujuan kerjasama berkenaan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Ia sejajar dengan cadangan kumpulan untuk mengambil alih 10% kepentingan dalam firma pembrokeran, pengurusan aset dan firma kredit yang terkenal di Hong Kong, Bluemount Financial Group Limited (BFGL).

 

Susulan itu, Industronics akan menubuhkan bank pelaburan di Labuan dan bekerjasama dengan pengawal selia mengenai isu berkaitan pematuhan, manakala SDIC akan menyediakan akses kepada pembiayaan dengan anggaran AS$1 bilion.

 

"Langkah ini merupakan sebahagian daripada perancangan masa depan kumpulan termasuklah cadangan pengambilalihan atau kerjasama dengan firma pembrokeran tempatan di Malaysia bagi memperluaskan lagi penawaran produk dalam perkhidmatan pasaran modal.

 

"Oleh itu, pemerolehan 10% dalam BFGL akan menawarkan sinergi yang sempurna kepada kerjasama memandangkan ia mempunyai pasukan profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam segmen perkhidmatan kewangan," katanya.

 

BFGL ialah firma pembrokeran saham, pengurusan aset dan kredit terkenal yang berpangkalan di Hong Kong yang dinilai pada HKD250 juta.

 

Firma itu dibiayai dengan modal yang banyak, mengetahui operasi pasaran dengan lebih mendalam dan mempunyai sistem kawalan dalaman yang ketat.

 

Ini telah membawa kepada keuntungan HKD10 juta dan HKD20 juta masing-masing pada 2020 dan 2021, walaupun terdapat gangguan pandemik COVID-19.

 

Menurut Industronics, MoU itu tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham, pegangan saham utama, aset bersih sesaham dan penggearan serta pendapatan sesaham kumpulan.

 

"Kerjasma ini hanya akan memberi kesan selepas memuktamadkan syarat perjanjian kerjasama. Sekiranya sebarang perjanjian kerjasama menjadi kenyataan, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan," katanya. - DagangNews.com