Infineon komited melabur sehingga RM24.9 bilion dalam tempoh 5 tahun bagi membina kilang semikonduktor terbesar di Kulim | DagangNews Skip to main content

Infineon komited melabur sehingga RM24.9 bilion dalam tempoh 5 tahun bagi membina kilang semikonduktor terbesar di Kulim

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengadakan perbincangan bersama wakil Infineon pada 24 Julai lalu.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Infineon Technologies AG akan melabur sehingga 5 bilion euro (RM24.9 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membina kilang fabrikasi kuasa (power fab) 200mm silikon karbida (SiC) terbesar dunia di Malaysia.

 

Syarikat semikonduktor global yang berpangkalan di Jerman itu berkata, pelaburan ke atas kemudahan di Kulim, Kedah itu akan membawa kepada potensi hasil tahunan kira-kira 7 bilion euro (RM34.85 bilion) menjelang akhir dekad ini.

 

Kilang pembuatan yang sangat kompetitif ini akan menyokong sasaran 30% pasaran SiC Infineon sebanyak 30% menjelang akhir dekad ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai komitmen syarikat semikonduktor itu dan keyakinan mereka terhadap ekosistem pelaburan di Malaysia. 

 

"Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pilihan pelabur dengan menyediakan landskap menarik bagi membangunkan teknologi inovatif dan mampan.

 

"Keyakinan berterusan Infineon dan syarikat-syarikat Jerman terhadap Malaysia adalah berasaskan keterangkuman dan kemampanan yang terdapat di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

BACA JUGA: Kilang semikonduktor Infineon tercanggih di Kulim siap menjelang suku ketiga 2024 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Infineon, Jochen Hanebeck berkata, pasaran untuk SiC menunjukkan pertumbuhan yang pesat, bukan sahaja dalam sektor automotif tetapi juga dalam pelbagai aplikasi industri seperti solar, simpanan tenaga dan pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkuasa tinggi.

 

PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bertemu dan mengadakan perbincangan bersama wakil Infineon pada 24 Julai 2023.

 

"Menerusi perkembangan ini, kami akan menjadim kedudukan sebagai peneraju dalam pasaran ini.

 

"Dengan skala peneraju industri dan kedudukan kos yang unik, kami memanfaatkan kedudukan kompetitif kami bagi teknologi SiC terbaik dalam kelasnya, portfolio pakej terluas dan pemahaman aplikasi yang tiada tandingan," katanya.

 

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkembangan kemudahan silikon karbida bertaraf dunia oleh Infineon di Kulim mewakili antara peristiwa penting dalam perjalanan Malaysia ke arah membangunkan keupayaan pembuatan termaju.

 

pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama wakil Infineon pada 24 Julai lalu.

 

“Perkembangan ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam memacu teknologi hijau, satu aspek penting untuk mencapai matlamat pembangunan mampan global kami.

 

"Kami menghargai kepercayaan, keyakinan dan pengiktirafan dalam prospek pertumbuhan Malaysia yang menjanjikan yang ditunjukkan oleh syarikat Jerman yang dihormati seperti Infineon." - DagangNews.com