Inflasi Jan 2024 kekal 1.5% namun harga daging mula naik, beras import melambung 9.6% | DagangNews Skip to main content

Inflasi Jan 2024 kekal 1.5% namun harga daging mula naik, beras import melambung 9.6%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kadar inflasi Malaysia pada Januari 2024 sekali lagi tidak mencatatkan penurunan, kekal 1.5% sejak November 2023 dengan mata indeks 131.4 berbanding 129.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Indeks Harga Pengguna (IHP) Januari 2024 yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kumpulan yang menjadi perhatian utama rakyat iaitu Restoran & Perkhidmatan Penginapan meningkat 3.2% manakala kumpulan Makanan & Minuman bertambah 2.0%.

 

Kumpulan lain yang turut melepasi kadar inflasi keseluruhan ialah Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%); Kesihatan (2.4%); Makanan & Minuman (2.0%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (2.0%).

 

Menurut DOSM, kumpulan Pengangkutan pula di bawah paras inflasi kelseluruhan dengan merekodkan peningkatan inflasi rendah (0.7%) berbanding bulan Disember 2023 (0.3%).

 

Katanya, kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP bagaimanapun masih mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 2.0 peratus pada Januari 2024 berbanding 2.3% pada Disember 2023.

 

"Komponen Makanan di rumah meningkat 1.1 peratus pada bulan Januari 2024 (Disember 2023: 1.3%). Kenaikan Makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh kelas perbelanjaan Bijirin & produk bijirin yang meningkat kepada 2.7 peratus pada Januari 2024 (Disember 2023: 3.0%). 

 

"Peningkatan ini disumbangkan oleh item Beras import dan Beras wangi import yang masing-masing mencatatkan peningkatan 9.6 peratus (Disember 2023: 10.1%) dan 6.6 peratus (Disember 2023: 6.0%).

 

"Item Tepung gandum pula menurun negatif 3.8 peratus (Disember 2023: -3.5%)," kata DOSM.

 

ihp 1

 

Sementara itu, DOSM berkata, daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan Daging mula mencatatkan peningkatan kepada 0.8 peratus berbanding negatif 1.4 peratus pada bulan Disember 2023. 

 

"Purata harga ayam standard Malaysia meningkat kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM10.30 sekilogram pada bulan Januari 2023 (Disember 2023: RM10.18).

 

"Kelas perbelanjaan Susu, produk tenusu lain & telur mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus (Disember 2023: 2.6%) dan kelas perbelanjaan Sayur-sayuran meningkat 2.2 peratus (Disember 2023: 0.8%)," katanya.

 

Komponen Makanan di luar rumah mereda kepada 3.1 peratus berbanding 3.4 peratus yang direkodkan pada Disember 2023, kata DOSM.

 

"Inflasi kelas perbelanjaan Susu, produk tenusu lain & telur mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus pada bulan Januari 2024 (Disember 2023: 2.6%) dengan kenaikan yang lebih rendah telah dicatatkan oleh Telur (0.6%). 

 

"Sementara itu, inflasi bagi kelas perbelanjaan Minyak & lemak menurun kepada negatif 0.2 peratus (Disember 2023: 0.1%)," jelas jabatan itu.

 

ihp 2

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7%), Sarawak (1.9%), Selangor (1.8%), Pulau Pinang (1.8%), Pahang (1.7%) dan Perlis (1.6%). 

 

Katanya, kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan pada 3.6 peratus, diikuti oleh Pahang (3.0%), dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.8%). 

 

"Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan & Minuman nasional iaitu 2.0 peratus pada Januari 2024.

 

"Inflasi keseluruhan secara bulanan terus menunjukkan kenaikan 0.2 peratus kadar yang sama seperti yang dicatatkan pada Disember 2023. 

 

"Antara kumpulan yang telah mencatatkan peningkatan secara bulanan ialah Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (0.4%); Makanan & Minuman (0.3%) dan Kesihatan (0.2%)," ujarnya.

 

Katanya, inflasi teras meningkat lebih perlahan kepada 1.8% (Disember 2023: 1.9%) dan masih melepasi inflasi keseluruhan Malaysia iaitu 1.5%. 

 

Menurut beliau, ini didorong oleh kumpulan Restoran & Perkhidmatan Penginapan dan Makanan & Minuman yang masing-masing mencatatkan 3.2 peratus dan 2.9 peratus pada Januari 2024.

 

"Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5%) adalah lebih rendah berbanding Amerika Syarikat (3.1%), Filipina (2.8%), Republik Korea (2.8%), Zon Euro (2.8%) dan Indonesia (2.6%). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (-1.1%) dan China (-0.8%)," katanya. - DagangNews.com