Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada Februari 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia meningkat 1.8% pada Februari 2024 - DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Inflasi Malaysia pada Februari 2024 meningkat 1.8% dengan mata indeks mencatatkan 132.1 berbanding 129.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ia berikutan peningkatan inflasi pada Februari 2024 telah didorong oleh peningkatan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.7%); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.6%) dan pengangkutan (1.2%). 

 

Sementara itu, kumpulan utama lain meningkat lebih perlahan termasuk restoran dan perkhidmatan penginapan (2.9%), kesihatan (2.2%), makanan dan minuman (1.9%) serta pendidikan (1.5%). 

 

 

inflasi

 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan 2.7% bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, berbanding 2% pada Januari 2024, disumbangkan oleh subkumpulan utama bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman pada 29.7% (Januari 2024: 9.3%). 

 

“Ini berikutan pelaksanaan pelarasan tarif air mengikut mekanisme penetapan tarif (TSM) bagi kategori pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Labuan yang berkuatkuasa 1 Februari 2024. 

 

“Peningkatan inflasi pengangkutan disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat 1.3% (Januari 2024: 1.2%) dan perkhidmatan pengangkutan awam 1.7% (Januari 2024: susut 4.5%),” katanya mengulas tentang laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Februari 2024 hari ini.

 

 

inflasi

 

 

Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8% kecuali di lima negeri iaitu Pulau Pinang (2.7%), Pahang (2.4%), Selangor (2.1%), Perlis (2%) dan Sarawak (1.9%). 

 

Tambahnya, kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman dengan yang tertinggi direkodkan di Putrajaya (3.2%), diikuti Selangor (3%), Pulau Pinang (2.5%), Labuan (2.3%), Sarawak (2.2%), Perlis (2.2%) dan Pahang (2.1%). 

 

Inflasi keseluruhan secara bulanan terus menunjukkan kenaikan 0.5% (Januari 2024: 0.2%), di mana antara kumpulan utama yang telah mencatatkan peningkatan secara bulanan ialah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.3%); restoran dan penginapan (0.6%) dan pengangkutan (0.4%). 

 

Inflasi teras meningkat pada kadar yang sama seperti Januari 2024 sebanyak 1.8%, didorong oleh kumpulan makanan dan minuman serta restoran dan perkhidmatan penginapan yang masing-masing menokok 3.1% dan 2.9% pada Februari 2024.

 

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8%) adalah lebih rendah berbanding Vietnam (4%), Filipina (3.4%), Amerika Syarikat (3.2%), Republik Korea (3.1%) dan Indonesia (2.8%). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (0.7%) dan Thailand (-0.8%). - DagangNews.com