Inflasi Malaysia meningkat 2.0% pada Mei 2024, kenaikan pertama sejak Feb 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia meningkat 2.0% pada Mei 2024, kenaikan pertama sejak Feb 2024 - DOSM

Sayur-sayuran merekodkan peningkatan tertinggi Mei 2024 sebanyak 4.8% berbanding 3.2% pada April 2024. -Gambar NAIMAZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

Inflasi Malaysia meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei 2024


KUALA LUMPUR 25 Jun - Inflasi Malaysia meningkat 2.0% pada Mei 2024, berbanding 1.8% pada bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ini juga kenaikan pertama inflasi yang sebelum ini berada pada tahap 1.8% buat tiga bulan berturut-turut Februari 2024.

 

DOSM yang melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Mei 2024 hari ini memaklumkan, mata indeks mencatatkan 132.8 berbanding 130.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/7384360190885268744.jpg?itok=j8LV7b9w","video_url":"https://www.tiktok.com/@dagangnews/video/7384360190885268744?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7254837072970827265","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}

 

"Peningkatan pada Mei 2024 telah didorong oleh peningkatan kumpulan utama Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (3.2%); Restoran & Perkhidmatan Penginapan (3.2%) dan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.0%). 

 

"Pakaian & Kasut pula menurun kepada -0.2% dan Insurans & Perkhidmatan Kewangan menurun kepada -0.1% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ihp 1

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan inflasi Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain meningkat kepada 3.2% (April 2024: 3.0%).

 

Katanya, peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh subkumpulan Bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan rumah kediaman, 32.1% (April 2024: 31.6%), seiring dengan kenaikan kadar tarif bagi bekalan air untuk pengguna domestik di Perak bermula Mei 2024. 

 

"Inflasi Restoran & Perkhidmatan Penginapan meningkat kepada 3.2% (April 2024: 3.5%) disumbangkan oleh peningkatan subkumpulan utama Perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.1% (April 2024: 3.9%).

 

"Inflasi bagi Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan meningkat 3.0% pada Mei 2024 berbanding 3.1% pada April 2024.

 

"Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan bagi kelas perbelanjaan Barang kemas & jam tangan 16.5% (April 2024: 17.0%)," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia April 2024 kekal 1.8%, harga makanan di luar rumah naik 4% - DOSM

 

ihp 2

 

Menurut Mohd Uzir, Kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP mencatatkan peningkatan perlahan 1.8% pada Mei 2024 (April 2024: 2.0%). 

 

Katanya, Subkumpulan utama Makanan di rumah meningkat secara marginal kepada 0.5% pada Mei 2024 (April 2024: 0.4%).

 

"Kelas perbelanjaan Sayur-sayuran merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 4.8% berbanding 3.2% pada April 2024. 

 

"Antara sayur-sayuran yang mencatatkan kenaikan dua digit adalah Bawang putih, Bawang besar, Lada benggala dan Timun," ujarnya.

 

Beliau berkata, inflasi bagi kelas perbelanjaan Daging merekod penurunan negatif 0.3% pada Mei 2024 (April 2024: -0.9%). 

 

ihp 3

Katanya, daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6% dalam kelas perbelanjaan Daging masih berada dalam jajaran negatif iaitu negatif 0.8% (April 2024: -3.5%). 

 

"Berdasarkan pengumpulan data oleh pihak DOSM, purata harga Ayam standard di Malaysia pada Mei 2024 adalah RM10.42 sekilogram berbanding RM10.45 sekilogram pada bulan Mei 2023 (April 2024: RM10.13).

 

"Manakala, purata harga Ayam standard bagi Semenanjung Malaysia pada Mei 2024 adalah RM9.71 sekilogram berbanding RM9.92 sekilogram pada bulan Mei 2023 (April 2024: RM9.33)," katanya.

 

Selain itu, kata Ketua Perangkawan alaysia, subkumpulan utama Makanan di luar rumah meningkat lebih rendah sebanyak 3.4% berbanding 4.0% pada bulan sebelumnya. 

 

Katanya, antara item yang merekodkan peningkatan lebih rendah berbanding bulan sebelum ialah seperti Nasi campur, Nasi lemak dan Masakan daging.

 

"Inflasi Pengangkutan meningkat secara marginal kepada 0.9% pada Mei 2024 berbanding 0.8 peratus pada April 2024. 

 

"Peningkatan tersebut disumbangkan oleh subkumpulan utama Pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.4% pada Mei 2024 (April 2024: 1.3%). 

 

"Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Mei 2024 adalah RM3.47 seliter berbanding RM3.35 seliter pada Mei 2023 (April 2024: RM3.47)," jelasnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia turut menambah, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus. 

 

Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3%), Sarawak (2.8%), Pahang (2.6%) dan Selangor (2.4%).

 

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi Makanan & Minuman. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.4 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (2.7%), Perlis (2.0%), Sarawak (1.9%), Pahang (1.8%) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8%). Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi Makanan & Minuman nasional iaitu 1.8 peritus pada Mei 2024.

 

Sementara itu, inflasi teras pula pada Mei 2024 kata Dr Mohd Uzir, meningkat 1.9%, kadar yang sama seperti direkodkan pada April 2024. 

 

Jelas beliau, ini didorong oleh peningkatan Restoran & Perkhidmatan Penginapan (3.3%) dan Makanan & Minuman (2.9%).

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (2.0%) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (4.4%), Filipina (3.9%), Indonesia (2.8%) dan Korea (2.7%). 

 

"Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (1.5%) dan China (0.3%)," ujarnya. - DagangNews.com

 

 

{"preview_thumbnail":"/sites/default/files/styles/video_embed_wysiwyg_preview/public/video_thumbnails/1fxgQo7TUgE.jpg?itok=otuTtPlJ","video_url":"https://youtu.be/1fxgQo7TUgE","settings":{"responsive":1,"width":"854","height":"480","autoplay":1},"settings_summary":["Embedded Video (Responsive, autoplaying)."]}