Inflasi Malaysia mereda kepada 2% pada Julai 2023, terendah tahun ini - DOSM | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia mereda kepada 2% pada Julai 2023, terendah tahun ini - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Inflasi Malaysia mereda kepada 2% pada Julai 2023, terendah pada tahun ini dengan mata indeks mencatatkan 130.5 berbanding 127.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan perlahan kadar inflasi didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan restoran & hotel, 5% berbanding 5.4% pada Jun 2023 dan makanan & minuman bukan alkohol 4.4% berbanding 4.7% pada Jun 2023. 

 

Katanya, ini diikuti oleh kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan mencatatkan 2.6%, manakala kedua-dua kumpulan kesihatan dan pendidikan masing-masing meningkat sebanyak 2%.

 

"Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.4% berbanding 4.7% pada Jun 2023. Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan lebih rendah untuk lima bulan berturut-turut kepada 3% pada Julai 2023 berbanding 3.2% yang direkodkan bulan sebelumnya. 

 

"Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan daging (5.5%); beras, roti & bijirin lain (4.5%); susu, keju & telur (4.3%) dan gula, jem, madu, coklat & manisan (3.5%). Selain itu, komponen Makanan di luar rumah mereda kepada 6.2% berbanding 6.8% yang direkodkan pada Jun 2023. 

 

"Antara item yang menunjukkan peningkatan lebih perlahan adalah roti canai, 5.2% berbanding 7.6% pada Jun 2023, nasi ayam, 5.1% (Jun 2023: 6.3%), masakan berasaskan daging, 4.1% (Jun 2023: 5.1%) dan masakan berasaskan sayur-sayuran, 4.1% (Jun 2023: 5.8%)," katanya dalam kenyataan media Indeks Harga Pengguna Malaysia Julai 2023 di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, inflasi restoran & hotel meningkat lebih perlahan kepada 5% pada Julai 2023 berbanding 5.4% pada Jun 2023, disumbangkan oleh peningkatan perlahan bagi subkumpulan perbelanjaan di restoran & kafe kepada 4.9% berbanding 5.6% pada Jun 2023.

 

 

dosm

 

 

Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, beliau berkata, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2% dengan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.1% pada Julai 2023. 

 

Walaubagaimanapun, hanya enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pahang (2.6%), Sarawak (2.6%), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6%), Perak (2.4%), Selangor (2.4%) dan Melaka (2.2%). 

 

"Inflasi makanan & minuman bukan alkohol bagi semua negeri mencatatkan peningkatan. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (6.0%), diikuti oleh Selangor (5.6%), Sarawak (5.5%), Pahang (4.8%), Perak (4.5%) dan Melaka (4.4%). 

 

"Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman bukan alkohol nasional iaitu 4.4% pada Julai 2023.

 

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Julai 2023 menyederhana kepada 0.1% berbanding 0.2% pada Jun 2023.

 

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (2%) adalah lebih rendah berbanding Zon Euro (5.3%), Filipina (4.7%), Singapura (4.1%), Amerika Syarikat (3.2%), Indonesia (3.1%), Republik Korea (2.3%) dan Vietnam (2.1%). Namun lebih tinggi berbanding Thailand (0.4%) dan China (-0.3%). - DagangNews.com