Infomina peroleh kontrak bernilai RM53.6 juta bagi perkhidmatan sokongan IT daripada bank di Thailand | DagangNews Skip to main content

Infomina peroleh kontrak bernilai RM53.6 juta bagi perkhidmatan sokongan IT daripada bank di Thailand

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - Infomina Bhd memperoleh kontrak bernilai AS$11.39 juta (RM53.6 juta) daripada sebuah bank di Thailand bagi perkhidmatan sokongan teknologi maklumat (IT).

 

Kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Infomina (Thailand) Co Ltd akan menyediakan aplikasi teknologi, operasi infrastruktur, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan.

 

Mereka bagaimanapun tidak mendedahkan penerima khusus perkhidmatan itu, hanya menyebut bahawa ia adalah sebuah bank di Thailand.

 

"Kerja-kerja bagi pesanan itu dijadualkan bermula pada 1 Jun 2024 dan mengambil masa lima tahun tujuh bulan sehingga 21 Disember 2029," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan Infomina, Yee Chee Meng berkata, pihaknya berbesar hati kerana pelanggannya memutuskan untuk melanjutkan hubungan kerja jangka Panjang dengan pihaknya.

 

Beliau berkata, menerusi kontrak itu, perkhidmatannya membolehkan bank itu memenuhi objektif mereka termasuk mewujudkan perniagaan baharu bagi membolehkan transformasi digital bank dan menyampaikan lebih banyak perkhidmatan baharu kepada pelanggan bank.

 

Katanya, ia juga bertujuan memindahkan bank ke pangkalan penggunaan baharu sejajar dengan hala tuju transformasi digital bank yang baharu.

 

"Ini merupakan pencapaian pasukan kami di Thailand. Ia menunjukkan keupayaan kami dalam memahami keperluan pelanggan kami dan menyediakan rumusan teknologi tahap tinggi.

 

"Usaha berterusan ini pasti akan meningkatkan lagi buku pesanan tertunggak kami, yang kini berjumlah kira-kira RM380 juta," katanya.

 

Pada suku ketiga berakhir 29 Feb 2024 (3QFY24), untung bersih kumpulan itu susut 61.4% kepada RM8.78 juta daripada RM22.72 juta setahun lalu, dengan hasil turun 53.7% kepada RM50.78 juta daripada RM109.73 juta .

 

Bagi tempoh sembilan bulan (9MFY24), untung bersih Infomina turun sebanyak 23.1% tahun ke tahun kepada RM24.99 juta daripada RM32.51 juta, apabila hasil merosot sebanyak 14% kepada RM166.63 juta daripada RM193.72 juta.- DagangNews.com