KUALA LUMPUR 21 Mac - Pemberian insentif kewangan kepada syarikat pengeluar gula yang dilaksanakan ketika ini adalah langkah sementara, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan berterusan dan mengekalkan harga gula kepada pengguna, sambil menambah harga gula global telah melonjak dan menjejaskan pengeluar tempatan.
"Ia juga dilaksanakan dengan mengambil kira harga gula global yang menyebabkan kerugian besar kepada pengeluar tempatan ketika ini," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 dan usul anggaran perbelanjaan Pembangunan Tambahan pertama 2023, di Dewan Rakyat," katanya.
Beliau menjawab isu dibangkitkan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai keputusan kerajaan memberikan insentif bulanan sebanyak RM1,000 setiap tan untuk gula kasar (CGS) bagi pek satu dan dua kilogram serta gula halus pek satu kilogram.
Dilaporkan insentif gula pasir kasar dan gula pasir halus masih berterusan sehingga kerajaan membuat semakan semula mekanisme kenaikan harga yang dijangka berlaku separuh kedua 2024.

Sementara itu, Wee mempersoalkan keputusan kerajaan untuk mengenakan duti eksais ke atas minuman bergula daripada 40 sen kepada 50 sen seliter bagi menyerlahkan flip-flop dalam dasar mengenai gula.
"Adakah kita meneruskan subsidi gula, seperti yang dilakukan (dengan insentif kepada syarikat pengeluar gula)? Mengapakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata sebaliknya? Apakah hala tuju kita? Apa pandangan kementerian mengenai perkara ini, kerana ia akan menjejaskan kesihatan kita semua," katanya. - DagangNews.com








