Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) menyaksikan majlis MoU antara MIDA dan Intel Malaysia ketika melawat ruang pameran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis. Turut hadir, Menteri Kanan MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kiri). Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR 10 Dis - Pengeluar cip terbesar dunia, Intel Corporation, melalui subsidiarinya, Intel Malaysia Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meningkatkan pembangunan bakat dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) negara.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata skop MoU itu akan merangkumi pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa hadapan, kerjasama penyelidikan dan pembangunan, pengembangan sumber tempatan, memacu penggunaan Industri 4.0 oleh pemain ekosistem E&E serta pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel.
"MoU tersebut adalah rangka kerja bagi memudahkan penyemaian ekosistem bakat teknologi yang akan berkembang maju dan akhirnya menyediakan tenaga kerja Malaysia untuk dunia digital serta kecerdasan buatan yang semakin meningkat," kata MITI dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Bernama. MIDA adalah agensi di bawah kementerian itu.
MITI berkata kerjasama strategik itu akan meneroka pembangunan program penyelidikan dan pembangunan bakat jangka panjang antara Intel serta institusi pengajian tinggi Malaysia yang terpilih dalam membina kumpulan bakat yang mampan dan berdaya saing.
"MoU itu juga bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama akademik dan industri yang lebih besar dengan menyediakan graduan bagi memenuhi keperluan industri," katanya.
Sebagai tanda kepada kerjasama ini, Intel dan MIDA akan terus berganding bahu dalam penyelidikan teknologi termasuk pembangunan terkini bagi menyokong pembangunan ekosistem E&E di Malaysia.
MITI berkata penggunaan Industri 4.0 dalam bidang pembuatan pintar juga ditekankan dalam MoU selain daripada meningkatkan aktiviti pendigitalan melalui pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel bagi menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
"Selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk mempersiapkan negara dan belia memasuki masa hadapan, kerjasama ini adalah tepat pada masanya dalam menyokong Rancangan Malaysia ke-12 untuk memajukan ekonomi digital dan memanfaatkan teknologi baru muncul.
"Perkongsian ini juga akan mengukuhkan lagi matlamat negara dalam menghidupkan semula agenda nasional bagi meningkatkan daya saing jangka panjang Malaysia seperti yang dirumuskan dalam Aspirasi Pelaburan Negara," katanya.
MITI berkata kerajaan akan meneruskan usaha untuk menggalakkan lebih banyak perkongsian awam-swasta yang menyediakan penyelesaian ketara dalam memenuhi keperluan industri, sambil meningkatkan kesan ekonomi melalui pemindahan teknologi serta kandungan pengetahuan, petunjuk eksport baharu dan kesan limpahan di seluruh industri. - DagangNews.com