IPO Jati Tinggi tarik ramai pelabur, catat lebihan langgan 16.11 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Jati Tinggi tarik ramai pelabur, catat lebihan langgan 16.11 kali

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis - Tawaran awam permulaan (IPO) Jati Tinggi Group Berhad melibatkan sebanyak lebih 335 juta untuk orang awam Malaysia  telah terlebih langgan sebanyak 16.11 kali.

 

Syarikat yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Disember 2023 itu menyaksikan terbitan awam sebanyak 66.8 juta saham baharu pada harga 27 sen sesaham.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat yang terlibat dalam bidang industri kejuruteraan utiliti infrastruktur itu berkata ia telah menerima sejumlah 5,195 permohonan untuk 335 juta saham terbitan orang awam yang bernilai RM90.55 juta, mewakili lebihan langganan 16.11 kali.

 

Bagi bahagian Bumiputera, 2,879 permohonan untuk 145 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 13.81 kali.

 

Manakala bagi bahagian awam Malaysia selebihnya, 2,316 permohonan untuk 190 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langgan 18.4 kali.

 

10 juta saham terbitan bagi permohonan oleh pihak berkelayakan telah dilanggan sepenuhnya.

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Jati Tinggi, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata langganan terlebih IPO tersebut membuktikan keyakinan pasaran terhadap strategi perniagaan dan pertumbuhan masa depan syarikat. 

 

 

Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin
Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin

 

 

"Tahap keghairahan pelabur ini menguatkan komitmen kami untuk terus memacu rancangan masa depan dalam industri kejuruteraan utiliti infrastruktur. 

 

"Kami amat berterima kasih terhadap undian keyakinan ini dan bersedia untuk memanfaatkan momentum ini untuk pertumbuhan yang mampan dan nilai pemegang kepentingan yang dipertingkatkan," katanya.

 

TA Securities Holdings Berhad, yang merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO, mengesahkan bahawa 23.2 juta saham terbitan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.  - DagangNews.com