Ireka mohon pengurusan kehakiman pulihkan semula kedudukan kewangan | DagangNews Skip to main content

Ireka mohon pengurusan kehakiman pulihkan semula kedudukan kewangan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Julai - Ireka Corporation Bhd., menerusi anak syarikatnya, Ireka Engineering & Construction Sdn. Bhd. (IECSB) telah mengemukakan permohonan untuk pengurusan kehakiman sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi memulihkan dan mengukuhkan kedudukan kewangan IECSB dan kumpulan secara keseluruhan.

 

Permohonan itu adalah sebahagian daripada rancangan komprehensif oleh pengurusan baharu dalam usahanya untuk mengembalikan kumpulan kepada keuntungan dalam tempoh sederhana.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Ireka, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail berkata, permohonan itu adalah perlu dan penting untuk menangani kedudukan hutang IECSB, yang memberi kesan kepada status Nota Amalan 17 (PN17) kumpulan dan keupayaan keseluruhan untuk bergerak ke hadapan.


"Adalah penting untuk membantu kumpulan memulihkan dan menyusun semula keadaan kewangannya, menjana aliran tunai, selain menstruktur semula hutang kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Secara dasarnya, pelan regularisasi Ireka adalah untuk keluar daripada status PN17 termasuk penyelesaian hutang dan penstrukturan semula di bawah pengurusan kehakiman, yang kedua-duanya perlu dibentuk dan dilaksanakan hampir serentak.

 

Dengan mempercepatkan usaha tersebut, ia membolehkan kumpulan mendapatkan dan mengambil bahagian dalam bidaan untuk mendapatkan kontrak atau projek baharu dan membolehkan kumpulan kembali mencatat keuntungan.

 

Susulan itu, seorang pengurus kehakiman akan dilantik untuk menjalankan penyelesaian hutang dan penstrukturan semula bagi pihak IECSB.

 

Pelantikan itu tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan dan peranan pengurus kehakiman adalah untuk menilai secara objektif dan memastikan usaha penstrukturan semula hutang IECSB, menentukan dan melaksanakan program penyelesaian akhirnya.

 

Mohd. Hasnul percaya pelantikan pengurus kehakiman adalah demi kepentingan terbaik kumpulan dan akan mempercepatkan proses untuk memulihkan kedudukan kewangannya.

 

"Dengan langkah ini, kami akan berada dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh, untuk menyahut cabaran yang telah menjejaskan IECSB dan memperlahankan pelan pemulihan kami untuk Ireka.

 

"Usaha ini akan meletakkan kumpulan di landasan yang betul untuk keluar daripada status PN17 dan membolehkan kami membina semula dan mengembangkan perniagaan,” katanya. - DagangNews.com