Iris Corporation, Theta Edge wujudkan syarikat kerjasama bagi kepentingan bersama | DagangNews Skip to main content

Iris Corporation, Theta Edge wujudkan syarikat kerjasama bagi kepentingan bersama

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Iris Corporation Berhad mengumumkan Kerjasama dan Perjanjian Pemegang Saham (JVSA) bersama Theta Edge Berhad pada 16 Ogos 2022 bagi mengawal selia hak kedua-dua syarikat selaku pemegang saham syarikat kerjasama itu.

 

Syarikat kerjasama itu dijangka membuka jalan untuk kerjasama masa depan antara mereka untuk mengenal pasti dan mendapatkan projek masa depan selaras dengan objektif Iris dalam mencari pakatan strategik dari semasa ke semasa untuk faedah bersama.

 

Iris akan mengetuai syarikat kerjasama itu dengan memegang 70% saham manakala baki 30% akan menjadi milik Theta Edge.

 

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan syarikat kerjasama bagi mendapatkan projek untuk syarikat itu dan melaksanakan projek di bawah nama syarikat itu. 

 

"Syarikat kerjasama itu hendaklah bermula dari tarikh JVSA dan akan diteruskan untuk tempoh satu tahun kalendar selepas itu, melainkan ditamatkan mengikut peruntukan di dalam perjanjian kerjasama itu.

 

"Sekiranya syarikat kerjasama itu dianugerahkan mana-mana projek, ia akan terus berkuat kuasa sehingga projek telah dilaksanakan dengan sewajarnya mengikut terma dan syarat kontrak utama," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kerjasama dengan Theta Edge itu tertaluk kepada syarat-syarat penubuhan syarikat itu dan Iris  akan mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa terma dan syarat JVSA yang berada dalam kawalan.

 

Faktor risiko lain yang boleh menjejaskan kerjasama itu termasuk risiko operasi dalam menguruskan projek seperti kekurangan tenaga kerja mahir, perubahan harga bahan dan pembangunan baharu teknologi dan risiko politik, ekonomi dan kawal selia akibat perubahan dalam dasar kerajaan dan perubahan dalam keadaan ekonomi serta perniagaan.

 

"Kerjasama itu tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham Iris atau mana-mana pihak berkuasa lain," katanya. - DagangNews.com