Iskandar Investment lancar ‘Net Zero Carbon CBD’ perkukuh inisiatif amalan ESG | DagangNews Skip to main content

Iskandar Investment lancar ‘Net Zero Carbon CBD’ perkukuh inisiatif amalan ESG

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Iskandar Investment Berhad (IIB) melancarkan ‘Net Zero Carbon CBD’ bersempena persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) yang dianjurkan dari 13 November hingga 17 November ini di Johor Bahru, bagi membuktikan komitmen IIB mengukuhkan amalan ESG di rantau ini.  

 

Net Zero Carbon CBD bertujuan mengekalkan kedudukan IIB sebagai peneraju bagi penubuhan pusat bandar sifar karbon bersih pertama di rantau ASEAN. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, menjelang 2030, pihaknya berhasrat mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM9 bilion. 

 

"Angka ini dijangka akan meningkat sebanyak 13% setiap 5 tahun. Jumlah penduduk bagi CBD ini dijangka mencapai 65,000 menjelang 2030 berbanding jumlah penduduk keseluruhan lebih 600,000 yang bekerja dan tinggal di Iskandar Puteri.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan penduduk meningkat secara signifikan menjelang 2050, seterusnya menjana sosioekonomi yang lebih kukuh bagi penduduk Medini dan Iskandar Puteri. Kami yakin usaha kami akan menghasilkan ‘multiplier effect’ bagi negeri Johor dan Malaysia secara keseluruhan. 

 

"Kesannya pula akan menunjukkan peningkatan KDNK, kadar peluang pekerjaan, pertumbuhan pelaburan asing, dan mempercepatkan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi serta negara membangun," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

 

iskandar
Datuk Idzham Mohd Hashim

 

 

Onn Hafiz berkata, pihak kerajaan negeri menghormati usaha IIB melalui pengumuman itu dan komited sepenuhnya menyokong dan memudah cara pelaksanaan inisiatif berkenaan sejajar matlamat Johor mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 7%, dengan nilai RM260 bilion menjelang 2030. 

 

"Harapan saya untuk melihat usaha transformasi ini berlaku kerana ia pasti akan meningkatkan daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini," katanya.

 

 

iskandar

 

 

IIB akan disertai rakan pintar dalam usaha membina bandar mampan. Semalam, IIB menandatangani memorandum persefahaman dan perjanjian usaha sama bersama Maybank dan MGTC (Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation).

 

Idzham berkata, usaha sama terkini bersama Maybank adalah bagi menubuhkan ‘Net Zero Carbon CBD’ di Medini dengan mengintegrasikan sokongan peralihan mampan dan rumusan  berasaskan alam dalam pelbagai aspek di Medini. - DagangNews.com