Iskandar Investment, MDV tingkatkan akses pembiayaan syarikat teknologi dan pemula di Johor | DagangNews Skip to main content

Iskandar Investment, MDV tingkatkan akses pembiayaan syarikat teknologi dan pemula di Johor

Datuk Idzham Mohd Hashim (kiri) bertukar MoU dengan Nizam Mohamed Nadzri (kanan) sambil disaksikan oleh Imran Abdullah (tengah).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Iskandar Investment Berhad (IIB) dan Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) bekerjasama menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan syarikat teknologi serta pemula di Medini, Johor dengan menambah baik akses kepada pembiayaan dan memupuk ekosistem inovasi yang berkembang maju di rantau ini.

 

MoU itu akan menyaksikan IIB dan MDV berganding bahu untuk memperkenalkan dan mempromosikan penyelesaian pembiayaan khusus MDV kepada rakan kongsi ekosistem IIB. 

 

Dengan menambah baik akses kepada pembiayaan dan memupuk perkongsian strategik, kedua-dua organisasi juga berharap dapat menarik dan mengekalkan bakat teknologi selain meningkatkan pembangunan ekonomi. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, dengan memanfaatkan kepakaran MDV dan penyelesaian pembiayaan khusus, pihaknya yakin boleh memupuk ekosistem inovasi bertenaga dan menyokong pertumbuhan syarikat baharu di Johor, khususnya di Medini. 

 

"Kerjasama ini membuktikan komitmen kami untuk memacu pembangunan ekonomi dan meningkat kedudukan Medini sebagai hab digital dan inovasi Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Idzham dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri, yang turut disaksikan oleh Setiausaha Bahagian Pembiayaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Imran Abdullah.

 

Nizam pula berkata, pengalaman MDV dalam menyediakan pembiayaan syarikat dan projek teknologi serta infrastruktur teknologi utama sektor awam dan swasta selama lebih dua dekad sejak penubuhannya telah memberi wawasan dan keupayaan untuk lebih memahami keperluan pembiayaan unik bagi syarikat teknologi dan syarikat baru. 

 

 

iib

 

 

"Melalui program pembiayaan fleksibel dan perkongsian strategik kami dalam rangkaian ekosistem IIB, kami menyasarkan untuk memacu inovasi dan keusahawanan di rantau ini. 

 

"Kami percaya Johor adalah pemacu pertumbuhan utama bagi sektor teknologi di Malaysia dan kami berbesar hati bekerjasama dengan IIB untuk usaha ini," katanya.

 

 

iib

 

 

Dalam pada itu, sesi perkongsian panel mengenai topik 'From Startup to Scaleup' turut dipaparkan sebagai salah satu sorotan utama lanjutan majlis tersebut. 

 

Turut dianjurkan ialah Klinik Pembiayaan MDV, satu sesi penglibatan antara MDV dan usahawan teknologi untuk memahami keperluan perniagaan mereka dan memperkenalkan kemudahan pembiayaan MDV yang tersedia terutamanya untuk kecekapan tenaga, automasi, dan kejuruteraan pintar. - DagangNews.com