Ismail Sabri ajak negara luar terokai kerjasama menerusi pelaburan dalam pembangunan industri dron | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri ajak negara luar terokai kerjasama menerusi pelaburan dalam pembangunan industri dron

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucaptama perasmian pembukaan Kongres Dron Dunia ke-7 2023 di Shenzen, China pada 2 Jun 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Malaysia mengajak pemain-pemain industri, pembuat dasar dan wakil kerajaan antarabangsa untuk menerokai kerjasama strategik menerusi pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan industri dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekarang bukan masa untuk menolak arus perubahan teknologi kerana ternyata dron memberi banyak manfaat kepada masyarakat seterusnya mewujudkan negara yang membangun. 

 

Katanya, beliau telah melihat sendiri bagaimana industri UAV mampu memanfaatkan negara dan rakyatnya. 

 

"Saya yakin banyak negara telah mencorak kerangka industri dron di negara masing-masing. China merupakan contoh yang terbaik dalam membangunkan industri ini. 

 

"Syarikat-syarikat dari negara ini menguasai pasaran dron dunia. Kerajaan dan pemain industri saling berganding bahu untuk memastikan teknologi ini terus berkembang. 

 

"Dalam masa yang sama, Malaysia telah mempunyai ekosistem untuk industri dron melalui pembinaan prasarana dan dasar yang jelas menerusi pelan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30)," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian pembukaan Kongres Dron Dunia ke-7 2023 di Shenzen, China hari ini.

 

 

ismailsabri

 

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berkongsi bagaimana pasukan tentera Malaysia dan polis menggunapakai sistem dron atau UAV semasa negara menghadapi cabaran pandemik COVID-19 kira-kira tiga tahun lalu.

 

Beliau berkata, sistem dron amat berguna ketika dunia dilanda wabak COVID-19 kerana manusia tidak perlu turun padang memantau keadaan sekeliling tapi hanya menggunakan sistem dron untuk membantu kerajaan mengawal COVID-19 daripada merebak. 

 

 

ismailsabri

 

 

Katanya, sistem dron atau UAV telah berkembang luas melangkaui sektor ketenteraan malah kini telah banyak digunakan disektor perusahaan dan pertanian termasuk dimiliki sendiri oleh orang awam. 

 

"Sektor pertanian di Malaysia sudah mula menggunakan dron secara intensif dalam aktiviti pemetaan ladang, pemeriksaan tanah, pembajaan dan peracunan. Sebagai contoh, sebuah agensi kerajaan menggunakan dron untuk mengawal selia ladang kelapa sawit miliknya seluas hampir 900 ribu hektar.

 

 

ismailsabri

 

 

"Setiap koridor di Malaysia juga mempunyai hab dron yang tersendiri seperti Kedah Aerotropolis serta Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) yang akan menjadi pencetus kepada sistem ekologi bandar pintar.

 

"Kawasan yang ditetapkan ini menyediakan persekitaran khusus untuk pembangunan dron, ujian dan penggunaan rekreasi, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam industri dron," katanya.

 

Justeru katanya, ketika menerajui Kerajaan Malaysia, beliau telah membangunkan MDTAP30 sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron. 

 

Ismail Sabri berkata, UAV adalah masa hadapan dan fungsinya bukan sahaja untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, malah boleh meningkatkan sekuriti makanan negara dan meminimumkan impak perubahan iklim. 

 

"Sejak dunia dilanda wabak COVID-19, perkara utama yang menjadi keresahan seluruh dunia adalah isu sekuriti makanan negara. Tanpa kita sedari, kemunculan sistem dron ini mampu membantu meningkatkan sumber makanan negara terutama dalam aspek penanaman tanaman, pemantauan kesihatan tumbuhan dan hasil. 

 

"Selain itu, isu perubahan iklim perlu dijadikan perbincangan utama kerana kesan daripadanya memberi kemudaratan kepada kehidupan manusia seperti bencana alam, peningkatan suhu yang mendadak dan peningkatan kadar kepupusan haiwan," katanya.

 

Katanya, banyak manfaat dapat diperoleh daripada sistem dron ini jika digunakan sebaiknya dan perlu ada kesedaran yang tinggi oleh setiap negara untuk mencebur dan melabur dalam industri dron.

 

Sementara itu Ismail Sabri berkata, kongres tersebut adalah detik terbaik untuk memacu industri dron dunia dan memulakan langkah pertama ke arah mengadaptasi transformasi digital kepada seluruh lapisan masyarakat. 

 

"Saya berharap semua delegasi dapat memanfaatkan masa dan ruang yang ada selama tiga hari ini untuk bertukar pandangan dan idea mengenai masa depan industri dron dunia," katanya. - DagangNews.com