Isu beras tempatan 'hilang' dari pasaran: Kerajaan digesa hapus kartel beras dengan segera - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Isu beras tempatan 'hilang' dari pasaran: Kerajaan digesa hapus kartel beras dengan segera - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan menghapuskan kartel beras dengan segera yang menyebabkan faktor kekurangan beras tempatan di negara ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kerajaan digesa menghapuskan kartel beras dengan segera yang menyebabkan faktor kekurangan beras tempatan di negara ini, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, ia sesuatu yang pelik berlaku hari ini apabila beras tempatan hilang dari pasaran sedangkan negara mengeluarkan sebanyak 62% makanan ruji itu dan tidak sampai 30% ia diimport.

 

Ahli Parlimen Bera itu berkata, senario itu pastinya melibatkan kartel yang mengawal pasaran beras tempatan negara.

 

"Saya difahamkan banyak beras tempatan hanya ditukar kampit sahaja kepada import dan mereka membuat keuntungan yang tinggi.

 

"Kedua, beras tempatan dicampur dengan beras tempatan dan dijual dengan beras import dan kartel harus dihapuskan segera seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Keluarga Malaysia untuk mengekang kartel ayam," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, semasa pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan beliau pada 31 Januari 2022 telah mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjalankan siasatan terhadap kartel-kartel yang menguasai pasaran ayam.

 

Katanya, pada 22 Disember lalu, MyCC mengenakan denda sebanyak RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk ‘kartel makanan ayam’ untuk menetapkan harga.

 

"Inilah golongan rakus yang mengambil keuntungan dengan menindas golongan yang memerlukan.

 

"Bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung rakyat, saya mencadangkan kerajaan melakukan penilaian ke atas bantuan sedia ada bagi memastikan kestabilan hidup mereka lebih terkesan.

 

"Untuk mengelakkan kenaikan harga barang akibat sistem percukaian yang tidak cekap, saya bersetuju dengan pandangan beberapa rakan bahawa GST perlu dikembalikan, biar atas apa nama sekali pun, kerana ia terbukti, bahawa sistem percukaian tersebut lebih telus dan sekali gus dapat mengimbangi fiskal kerajaan melalui kutipan hasil," katanya. - DagangNews.com