Isu BlackRock: Berikut penjelasan Perdana Menteri di Dewan Rakyat | DagangNews Skip to main content

Isu BlackRock: Berikut penjelasan Perdana Menteri di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 25 Jun - Penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock dibuat selepas melalui syarat ketat, dengan tapisan dilakukan dalam kalangan keseluruhan 145 syarikat yang berminat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada 145 syarikat itu, lima syarikat akhirnya disenarai layak termasuk BlackRock, dengan antara isu yang timbul di peringkat rundingan adalah kebanyakan syarikat berkenaan mahu diberikan hak mengurus sepenuhnya.

 

"Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 (syarikat) yang berminat, akhirnya lima yang layak.

 

"Syarat yang ditetapkan oleh Khazanah adalah ketat dan ia tak dipersetujui kebanyakan (syarikat). Pertama, (jawatan) pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) mestilah rakyat Malaysia, selain itu, majoriti pegangan adalah (milik) Malaysia.

 

"Namun syarikat yang berminat ini, baik Singapura atau lain-lain, mereka nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyat dia atau mereka yang tentukan. Syarat ini tak diterima. Itu sebabnya mengapa GIP diambil," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

 

anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Gambar BERNAMA

 

 

BACA: BlackRock sudah lama di Malaysia, nilai pelaburan kini lebih RM32 bilion

 

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempersoalkan pemilihan Blackrock yang dikaitkan sebagai syarikat pro-Israel.

 

Pelaburan Khazanah, KWSP, PNB tidak pernah dirujuk kepada Kabinet

 Anwar menjelaskan keputusan pelaburan dibuat Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) bukanlah satu urusan kerajaan dan tidak pernah dirujuk kepada Kabinet.

 

Menurut Perdana Menteri, perkara itu bukan baharu kerana amalan sama dalam keputusan pelaburan dibuat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan turut dibuat pentadbiran terdahulu.

"Semua pelaburan PNB, KWSP, Khazanah itu bukan urusan Kabinet. Saya lihat juga minit mesyuarat Kabinet (pentadbiran) sebelumnya, keputusan pelaburan Khazanah, PNB dan KWSP tidak dirujuk Kabinet, termasuk semasa rakan-rakan sebelah sana (pembangkang) menjadi Jemaah Menteri.

 

"Tetapi dalam kes ini (pegangan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP), saya ada maklumkan Kabinet.. ini yang berlaku, (hanya) sebagai makluman saja.

"Ada ahli Kabinet bangkitkan (mereka tak tahu mengenai pelaburan) itu betul. Saya maklumkan setelah keputusan dibuat," katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. - DagangNews.com