Isu kepincangan aset TLDM perlu buka mata pembuat keputusan, sumber ekonomi negara di laut mesti dijaga | DagangNews Skip to main content

Isu kepincangan aset TLDM perlu buka mata pembuat keputusan, sumber ekonomi negara di laut mesti dijaga

TLDM masih mengoperasikan kapal peronda laju berusia 50 tahun disebabkan kekurangan aset.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Isu aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinyatakan secara terbuka dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sepatutnya membuka mata tentang kepincangan yang berlaku.

 

Ini adalah isu serius melibatkan keselamatan negara apabila angkatan laut kita terus dibiarkan beroperasi dengan keadaan yang tidak sepatutnya.

 

Kekuatan angkatan laut sepatutnya perlu diberi keutamaan kerana Malaysia merupakan negara maritim yang mempunyai perbatasan luas.

 

 

Semakan audit mendapati TLDM hanya menerima 4 kapal daripada 18 buah yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK-12.

 

Kapal

Kapal peronda serang laju.

 

Kapal
Tiga daripada empat kapal LMS TLDM yang dibeli dari China.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 9 lagi dalam proses pelaksanaan perolehan daripada keseluruhan 6 kapal tempur pesisir (LCS), 10 kapal misi pesisir (LMS) dan dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).

 

Isu LCS sendiri terus menjadi duri dalam daging apabila kelewatan menyiapkan kapal merencatkan rancangan pemodenan TLDM, malah terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk disiapkan sepenuhnya.

 

Impaknya menjejaskan pegangan kapal di bawah Program Transformasi TLDM 15to5 berikutan perolehan tidak dilaksanakan mengikut perancangan.

 

Keputusan bertangguh kerajaan terdahulu untuk memutuskan pembelian kapal MRSS telah pun dilihat apabila khidmat kapal logistik tua masih diharapkan.

 

Kapal
Kapal LMS diperlukan untuk pengawasan dan rondaan.

 

Semakan audit juga mendapati 26 kapal atau 53.1 peratus daripada keseluruhan 49 kapal melebihi usia guna antara sembilan hingga 25 tahun dan masih digunakan untuk tujuan operasi.

 

Takrifan ‘masih boleh digunakan’ ini walaupun secara relatifnya kapal tidak bermasalah tetapi realitinya kapal-kapal usang mempunyai had semasa belayar.

 

Pendedahan aset usang ini sebenarnya tidak memeranjatkan kerana isu tersebut telah pun dibangkitkan oleh pemerintahan TLDM sendiri sejak beberapa tahun lalu.

 

Mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany giat memperjuangkan isu aset TLDM usang sepanjang perkhidmatannya.

 

Kapal
Usia kapal peronda ini lebih tua berbanding kru.

 

Kapal
Kapal peronda usang masih menggunakan sistem persenjataan meriam lama teknologi tahun 1960an.

 

Mohd Reza meneruskan perjuangan kepemimpinan sebelum ini bagi mengatasi isu berkenaan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan TLDM pada 30 November 2018 sebelum bersara tahun lalu.

 

Umpama tiada rotan akar pun berguna, TLDM terpaksa memikirkan jalan alternatif bagi memastikan kapal-kapal peronda lama yang berusia lebih 40 tahun dapat dioperasikan secara maksimum.

 

Inisiatif Obsolescence Programme (OP) dan Program Repowering adalah antara langkah menangani aset usang TLDM yang diberikan perhatian semasa pemerintahan beliau.

 

OP bertujuan menggantikan struktur (badan kapal) serta keseluruhan sistemnya kecuali beberapa peralatan legasi seperti meriam.

 

Kapal

 

Kapal yang terbabit dalam program ini adalah dari Skuadron Fast Attack Craft (FAC) M.

 

Program Repowering pula ialah menggantikan sistem kuasa gerak seperti enjin, kotak gear dan propeller, serta sistem jana kuasa bagi kapal dari skuadron FAC (G).

 

Sebanyak lapan kapal menjalani Program Repowering.

 

Walaupun kaedah ini dapat menjimatkan wang negara tetapi pada satu aspek TLDM terpaksa bergelut dengan teknologi yang terkebelakang.

 

Kapal
Isu kelewatan LCS terus membelenggu kerajaan dan TLDM.

 

Kegagalan memperoleh kapal baharu dalam jumlah dikehendaki menyebabkan TLDM terpaksa melakukan ‘proses kitar semula’ atau program memanjangkan hayat kapal sedia ada. 

 

Pengoperasian kapal-kapal usang dan kekangan bajet pertahanan bukan sahaja menjejaskan kesiagaan serta kemampuannya, malah secara tidak langsung merisikokan keselamatan warga TLDM. 

 

Berdasarkan LKAN tersebut, apa tindakan daripada kelompok perancang, pemikir dan pembuat keputusan dalam kerajaan sama ada melihat isu ini sebagai penting, amat penting atau sebaliknya. - DagangNews.com