Isu LCS jadi cabaran kepada Mohammad Khaled terajui Mindef selain rancangan pembangunan masa hadapan pertahanan negara | DagangNews Skip to main content

Isu LCS jadi cabaran kepada Mohammad Khaled terajui Mindef selain rancangan pembangunan masa hadapan pertahanan negara

Mohammad Khaled dilantik menerajui Mindef.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

SETAHUN satu bulan Kementerian Pertahanan (Mindef) di bawah kerajaan perpaduan, portfolio menteri di kementerian tersebut beralih apabila menyaksikan pertukaran.

 

Penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan bertukar sebagai Menteri Luar untuk menyerahkan baton mengetuai Mindef kepada Datuk Seri Mohammad Khaled Nordin.

 

Memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, Mohammad Khaled mula menyertai dalam barisan Kabinet sejak tahun 1999 bermula sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

 

Seterusnya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2004), Menteri Pengajian Tinggi (2008-2013) dan Menteri Pendidikan Tinggi (2022).

 

Menhan
Mohamad (kanan) menyerahkan tampuk pentadbiran Mindef kepada Mohammad Khaled.

 

Mohammad Khaled juga merupakan Menteri Besar Johor bagi penggal 2013-2018.

 

Justeru, pelantikan beliau sebagai Menteri Pertahanan (Menhan) dilihat tepat sesuai dengan pengalaman kerana menjadi amalan hanya menteri kanan dilantik menerajui Mindef.

 

Bermakna dalam tempoh lima tahun iaitu semenjak Mei 2018 terdapat lima orang menteri silih berganti sebagai Menhan di bawah empat Perdana Menteri.

 

Bermula dengan Mohammad Sabu, seterusnya Datuk Seri Ismail Sabri; Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein diikuti Mohamad dan Mohammad Khalid.

 

Bagaimana pun, tidak banyak progres besar Mindef sepanjang tempoh tersebut sekiranya diukur dalam soal perolehan dan pembelian aset baharu melainkan perkara yang telah lama dirancang.

 

Menhan
Mohammad Khaled bersama Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

 

Cuma, Mindef telah memainkan fungsinya dengan berkesan semasa situasi pandemik Covid-19 membantu lain-lain petugas barisan hadapan.

 

Dengan janji Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim bahawa barisan kabinet ini akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16, ada tempoh sekurang-kurangnya empat tahun sebelum kerajaan sedia ada dibubarkan.

 

Sebagai Menhan, Mohammad Khalid sebagai pengurusan tertinggi Mindef perlu melalui dua rancangan pembangunan iaitu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang berakhir pada 2025 dan RMK-13 (2026-2030).

 

Bagaimana pun, RMK-12 yang sedang berlangsung dijangka tidak banyak mengubah apa yang telah diputuskan oleh kepimpinan sebelum ini memandangkan setiap perolehan misalnya mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk disempurnakan.

 

Ini kerana beberapa perolehan baharu yang akan diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa sekarang hingga tahun 2026 adalah keputusan yang dibuat satu hingga dua tahun lalu.

 

Lms
Perolehan LMS bakal dijangka bakal diputuskan dalam masa terdekat.

 

Helikopter
Rancangan mendapatkan 12 lagi helikopter baharu TUDM telah ditetapkan sejak 11 tahun lalu.

 

Sebagai contoh, projek membina lebih 7,300 kediaman di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang dengan harga bermula RM150,000 bulan lalu merupakan cadangan yang telah dirancang sebelum 2018 lagi.

 

Ia bukan projek baharu Mindef, termasuklah beberapa program berkaitan seperti membaiki dan menyelenggara kuarters tentera kerana ini merupakan pelaksanaan yang dibuat secara berkala.

 

Perolehan lain semasa pentadbiran Menhan lalu, Mohamad seperti pembelian pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA), FA-50 Block 20 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga telah dirancang sejak 2018, manakala jenis pesawat yang dipilih bukan dibuat menteri tetapi kepimpinan TUDM.

 

Begitu juga perolehan kapal misi pesisir (LMS) dan 12 buah helikopter baharu TUDM juga merupakan perancangan lama yang menunggu masa untuk dimuktamadkan.

 

Lcs
Isu LCS menjadi cabaran besar kepada Mindef sehinggalah kesemua kapal disiapkan.

 

Lcs

 

Hanya satu perkara penting sahaja yang berlaku semasa pentadbiran Mohamad iaitu perjanjian semula projek kapal tempur pesisir (LCS) antara Mindef dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) pada Mei lalu.

 

Begitu pun, proses pemulihan projek LCS ini telah dibincangkan lebih awal iaitu sejak tahun 2020 apabila kerajaan pada masa itu meletakkan komitmen untuk menyelesaikan kelewatan.

 

Sepertimana empat Menhan sebelum ini, isu LCS akan menjadi perkara utama yang perlu dihadapi oleh Mohammad Khaled.

 

Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih BNS sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan (MOF).

 

ATM
Selain aset, pembangunan modal insan ATM juga menjadi keutamaan Mindef.

 

Lima kapal ini dijanjikan untuk disiapkan BNS dan kerajaan dengan LCS pertama pada Ogos 2026 dan yang akhir pada April 2029.

 

Ini bermakna LCS pertama yang diberi nama KD Maharaja Lela dan LCS kedua akan siap semasa Mohammad Khaled sebagai Menhan, itupun jika tiada masalah di pertengahan.

 

Secara kebetulan, beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd. pada 2020 sebelum melepaskan jawatan pada Ogos 2021.

 

Kos projek terkini adalah RM11.266 bilion berbanding kos asal RM9.128 bilion dengan tambahan RM2.098 bilion juga sukar dijangka kerana kemungkinan ia meningkat.

 

Mindef di bawah Mohammad Khaled juga dilihat tidak mempunyai pilihan selain perlu menyelesaikan projek berkenaan walau apa keadaan sekalipun. - DagangNews.com