SERDANG 19 April - Pengasas dan pemegang saham terbesar Country Heights Holdings Bhd, Tan Sri Lee Kim Yew mencabar bekas perundingnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Gerald Patrick Healy mengemukakan bukti kepada Jabatan Insolvensi (MdI) berhubung jumlah RM3 juta yang didakwa terhutang kepadanya.
Lee berkata, pada 17 April 2023 beliau telah memberi keterangan kepada MdI berhubung pengisytiharan kebankrapan tersebut.
"Saya tidak bankrap dan jauh daripada muflis. Ini akan dibuktikan apabila saya menghantar hal ehwal penyata kepada MdI berkenaan isu muflis dalam masa terdekat.
"Healy harus pergi ke MdI untuk mengemukakan bukti tersebut, bukannya menggunakan semua jenis helah kotor dan tekanan luaran. Kes muflis adalah urusan peribadi antara saya dan beliau.
"Saya menggesa orang ramai untuk menghormati undang-undang Malaysia dan berhenti berkongsi atau menyebarkan komen serta teguran tidak berasas," katanya dalam sidang akhbar di Mines Beach Resort, hari ini.
Menurut Lee, beliau tidak akan merasa malu jika 'dibangkrapkan' oleh Healy dengan nilai RM3 juta.
"Saya akan malu hanya jika saya membiarkan Healy mengambil RM3 juta daripada saya, dari bumi Malaysia dengan mudah, kerana ia bertentangan dengan nilai, prinsip dan falsafah hidup saya.

"RM3 juta tidaklah besar bagi saya, tetapi semasa COVID-19, kita tahu betapa bernilainya wang sebanyak itu dan semua ini berlaku semasa pandemik," katanya.
Tambah beliau, ketika pandemik, beliau telah melaksanakan inisiatif 'Bantu-Bantu Malaysia' dengan menyumbang sebanyak 1.2 juta kilogram (kg) beras, lebih 1 juta bungkus mi, 200,000 kg minyak masak, garam, gula, serta semua makanan dalam tin kepada golongan memerlukan.
Sebelum ini, Lee menegaskan beliau masih “mampu membayar hutang” walaupun Perintah Adjudikasi dan Perintah Penerimaan (AORO) mengisytiharkan beliau muflis oleh Mahkamah Tinggi pada bulan Januari.
Katanya, AORO yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Januari lalu berpunca daripada petisyen yang difailkan oleh Healy berhubung jumlah RM3 juta yang didakwa terhutang kepadanya.
Bekas perunding itu mempunyai latar belakang undang-undang dan bekas pegawai Club Excellence Inc yang berpangkalan di AS Lee, yang telah ditutup.
Susulan penggulungan syarikat itu, Lee berkata Healy kemudiannya memohon perintah timbang tara terhadapnya tanpa kehadirannya kerana sekatan perjalanan COVID-19 pada masa itu.
Healy membawa penghakiman RM3 juta mahkamah timbang tara AS ke Malaysia, dengan menggunakan undang-undang kebankrapan Malaysia untuk menjadikan Lee muflis. - DagangNews.com








