Isu saman Khazanah Realty tidak jejaskan reputasi Homeritz, ramal HLIB | DagangNews Skip to main content

Isu saman Khazanah Realty tidak jejaskan reputasi Homeritz, ramal HLIB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Tindakan anak syarikat milik penuh Homeritz Corporation Berhad, Embrace Industries Sdn Bhd untuk memfailkan saman terhadap Khazanah Realty Sdn Bhd dijangka tidak akan menjejaskan reputasi Homeritz dengan teruk. 

 

Ini memandangkan tindakan perundangan itu dicetuskan oleh anak syarikatnya dengan niat untuk mendapatkan tanah yang pada awalnya mahu dibeli oleh Embrace Industries daripada Khazanah Realty, menurut penganalisis di HLIB Research, Tan Kai Shuen. 

 

“Homeritz tidak melihat sebarang impak kewangan daripada tindakan sivil itu selain daripada tanggungan kos perundangan. 

 

“Tindakan itu juga tidak akan mendatangkan sebarang impak ke atas operasi semasa perniagaannya. Kami akan terus memerhatikan perkembangan perkara ini,” kata Kai Shuen dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Homeritz menerusi maklumannya di Bursa Malaysia pada minggu lalu memberitahu bahawa Embrace Industries telah memfailkan saman terhadap defendan, melibatkan urusan jual dan beli dua bidang tanah yang terletak di Parit Bakar, Muar, Johor.

 

Perjanjian jual dan beli tanah (SPA) telah dimeterai pada 1 Februari 2021, di mana Embrace Industries bersetuju untuk membeli kedua-dua bidang tanah tersebut pada kadar RM5.7 juta yang tertakluk kepada beberapa syarat dalam tempoh tiga bulan dengan lanjutan dua bulan.

 

Homeritz mendakwa Khazanah Realty telah melanggar janji dan gagal atau menolak untuk membantu anak syarikatnya dalam permohonan kelulusan bagi membina infrastruktur awam, bangunan kilang, izin merancang dan rancangan bangunan melibatkan tanah tersebut. 

 

Ini di mana defendan didakwa menangguhkan pelaksanaan dokumen yang diperlukan atau enggan menandatangani dokumen.

 

“Defendan juga telah meminta persetujuan Pihak Berkuasa Negeri hampir 4 bulan setelah SPA. Oleh itu, plaintif mendakwa defendan telah mengetepikan syarat sebelumnya dan masa,” tambah Homeritz dalam maklumannya itu, baru-baru ini.

 

Saman telah difailkan oleh firma guaman plaintiff, Tetuan Chee Siah Le Kee & Partners di Mahkamah Tinggi Muar pada 24 September lalu yang menuntut pengisytiharan bahawa defendan tidak berhak untuk membatalkan SPA; perintah yang melarang defendan menjual tanah; prestasi khusus SPA; kerosakan am sebagai tambahan kepada atau sebagai pengganti prestasi, kepentingan dan kos tertentu. 

 

HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ saham Homeritz dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar 78 sen. - DagangNews.com