JAKS Resources bekerjasama dengan CALB Group teroka pasaran BESS di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

JAKS Resources bekerjasama dengan CALB Group teroka pasaran BESS di Asia Tenggara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - JAKS Resources Berhad menerusi JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CALB Group Co Ltd bagi meneroka kerjasama dalam pasaran Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) khususnya di rantau Asia Tenggara.

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama itu melibatkan peluang untuk meneroka projek tenaga boleh diperbaharui (RE) rentas sempadan di Malaysia selain terdapat rancangan penubuhan usaha sama yang bertujuan menghasilkan dan menyepadukan modul/pek bateri mereka dengan sel bateri CALB.

 

CALB yang ditubuhkan di China merupakan syarikat yang tersenarai di Bursa Hong Kong dan mereka secara asasnya terlibat dalam bidang bateri Li-ion bagi kenderaan elektrik dan aplikasi sistem penyimpanan tenaga.

 

Ia merangkumi pembangunan, reka bentuk dan pembuatan bahan utama, sel/modul/pek bateri, sistem pengurusan bateri (BMS) dan sistem berkaitan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif JAKS, Andy Ang Lam Poah berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama dengan CALB yang merupakan pemain industry terkemuka dalam industry bateri.

 

Beliau berkata, bateri memainkan peranan penting dalam peralihan dunia kepada RE dan menerusi kerjasama itu, kumpulan itu dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih komprehensif dalam bidang itu.

 

"Ia membolehkan kumpulan itu memanfaatkan lebih banyak peluang berkaitan RE, terutamanya apabila peluang eksport sejajar dengan inisiatif kerajaan Malaysia untuk memudahkan eksport RE rentas sempadan.

 

"Dengan peningkatan permintaan untuk bateri yang didorong oleh penggunaan pantas RE, kami optimis bahawa kerjasama ini akan menghasilkan output yang positif pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com