Jangan panik, barang keperluan cukup semasa PKP 3.0 | DagangNews Skip to main content

Jangan panik, barang keperluan cukup semasa PKP 3.0

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa membuat pemeriksaan harian di seluruh negara bagi memastikan bekalan terutama dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mencukupi.

 

Sehubungan itu, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam menasihati pengguna supaya membuat pembelian secara biasa dan dalam kuantiti yang perlu sahaja. 

 

Dalam masa sama, katanya, KPDNHEP turut memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan pengguna setakat ini adalah mencukupi sepanjang tempoh PKP.

 

“Mengikut rekod, sepanjang pelaksanaan sejak PKP 1.0, sebanyak 895,642 jumlah pemeriksaan premis telah dijalankan di seluruh negara. Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Bahagian Penguatkuasa, bekalan barang-barang keperluan utama adalah mencukupi. 

 

“Untuk makluman, pegawai-pegawai penguat kuasa juga membuat pemantauan harian terhadap 2,711 peruncit terpilih daerah, 1,039 pemborong terpilih daerah dan 233 pengilang atau pengeluar terpilih daerah. 

 

“Sehingga kini tiada situasi gangguan bekalan di peringkat pengeluar dan pengilang dikesan,” kata Azman dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Tambah beliau, sebarang perubahan tingkah laku pengguna seperti membuat pembelian yang banyak dan tergesa-gesa akan menyebabkan gangguan terutama untuk rantaian bekalan setempat yang mencetuskan situasi panik dalam kalangan pengguna sedangkan ia bukan disebabkan oleh masalah bekalan. 

 

Semua pihak termasuk pengguna dan peniaga perlu memainkan peranan masing-masing supaya semua pihak dapat mengharungi pandemik ini dalam suasana yang terkawal, ujar beliau lanjut. - DagangNews.com