Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan - Kumpulan Takaful Etiqa melantik Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron sebagai ahli Jawatankuasa Shariah baharu berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Beliau bersama ahli Jawatankuasa Shariah yang lain akan bertanggungjawab dalam memastikan hal ehwal perniagaan dan aktiviti kumpulan mematuhi prinsip shariah.
Pengerusi Etiqa General Takaful Bhd. dan Etiqa Family Takaful Bhd., Datuk Majid Mohamad berkata, pihaknya berbesar hati menerima Mohamad Sabri dalam Jawatankuasa Shariahnya.
"Sebagai Mufti Terengganu serta pengalaman lebih 20 tahun beliau dalam industri kewangan Islam, kami percaya dengan pengalaman dan kepakarannya akan menguatkan tadbir urus shariah serta memperluaskan budaya pematuhan shariah dalam entiti takaful Etiqa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Sabri berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh (Shariah) dari Universiti Jordan.
Penyelidikan tesis PhD beliau di dalam bahasa Arab berkenaan hukum hakam dalam pasaran modal, saham dan bon dianggap sebagai antara perintis di dalam dunia Islam.
Dalam bidang kewangan Islam pula, beliau adalah ahli Jawatankuasa Shariah Bank Muamalat Malaysia Bhd. bermula dari 2 Disember 2003 sehingga 31 Mac 2021.
Mohamad Sabri juga adalah pengerusi Jawatankuasa Shariah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) sejak Januari 2021.
Beliau pernah dipinjamkan ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai Pengurus Kanan Pasaran Modal Islam bermula dari 1 Jun 2009 sehingga 31 Mei 2010. - DagangNews.com