Jaya Grocer buka cawangan ke-50 di Seremban Prima Mall | DagangNews Skip to main content

Jaya Grocer buka cawangan ke-50 di Seremban Prima Mall

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - Jaya Grocer membuka cawangan ke-50 di Seremban Prima Mall baru-baru ini, menjadikannya pasar raya premium terkemuka pertama di ibu negeri, serta yang kedua di Negeri Sembilan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Adelene Foo berkata, kedudukan cawangan ke-50 itu adalah yang paling strategik dengan jarak berjalan kaki dari Pejabat Pos Besar Seremban, stesen kereta api utama dan pejabat-pejabat kerajaan yang sering dikunjungi serta terletak di kawasan membeli-belah.

 

Beliau berkata, pihaknya membuat pelaburan besar menerusi sebuah kedai seluas 27,000 kaki persegi sebagai tanda penghargaan untuk semua pelanggan di Negeri Sembilan yang banyak menyokong sejak pembukaan cawangan di Mesa Mall, Nilai pada 2017.

 

"Kami berterima kasih atas sokongan padu pelanggan mereka di Negeri Sembilan dan kami mahu mengembangkan lagi rangkaian kami di negeri ini. Kami akan mempertimbangkan lokasi lain di negeri ini jika diberi peluang dan apabila termanya sesuai.

 

"Kami juga berbesar hati menjadi satu-satunya jenama pasar raya premium terkemuka di Seremban dan berhasrat untuk menawarkan pelbagai rangkaian barangan segar dan juga produk import yang belum pernah dicuba penduduk tempatan.

 

"Ini adalah sebahagian daripada janji perkhidmatan Jaya Grocer dalam menyediakan kemudahan kepada pelanggan kami," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Jenama pasar raya besar, premium dan terkemuka itu memulakan tahun dengan ramalan pengembangan rangkaian yang positif pada 2024 berdasarkan pertumbuhan ekonomi lebih kukuh seperti yang diramalkan oleh kebanyakan penganalisis dan firma penyelidikan.

 

 

jayagrocer

 

 

Cawangan ke-50 itu dibuka hampir tiga minggu selepas pembukaan cawangan di Plaza Shah Alam, Selangor pada 13 Januari yang lalu.

 

Bagi menghargai para pelanggan di Seremban, Jaya Grocer menawarkan promosi istimewa mulai 31 Januari hingga 18 Februari ini untuk pelbagai barangan keperluan seperti makanan laut, minyak masak, daging beku serta barangan pembersihan.

 

 

jayagrocer

 

 

Jaya Grocer terkenal dengan pelbagai barangan segar dan produk import yang berkualiti tinggi. Kumpulan yang berkeupayaan tinggi dan inovatif itu mempunyai pelbagadi kawasan perumahan hingga ke pusat beli-belah di bandar-bandar utama.

 

Seperti cawangan Jaya Grocer yang lain, cawangan Seremban Prima turut menawarkan perkhidmatan membeli-belah dalam talian melalui GrabMart untuk pengalaman berbelanja yang terbaik kepada pelanggan.

 

Pelanggan boleh menikmati lebih banyak tawaran nilai dan diskaun setiap bulan melalui program Keahlian Jaya Grocer yang dibawakan oleh Grab. Akses kepada program keahlian itu tersedia secara terus melalui aplikasi mudah alih Grab.  - DagangNews.com