Kerjasama ini memberi nafas baharu kepada koleksi Scarlet.
KUALA LUMPUR 10 Dis – AEON Co. (M) Bhd. mengorak langkah ke hadapan menerusi kerjasama dengan penggaya fesyen tersohor, Steven Sunny untuk jenama silang generasinya yang popular, Scarlet, dengan menampilkan 10 pilihan koleksi akhir tahun.
Sesi eksklusif bersama dengan Steven Sunny yang mengayakan serta memberi nafas baharu kepada koleksi Scarlet di adakan hari ini di AEON Mid Valley Megamall.
Bertemakan #OwnWhatYouWear, ia diperkenalkan sebagai koleksi peribadi, Scarlet x Steven Sunny memberikan kenyataan tentang pemakainya yang mengutamakan kesejahteraan serta menyayangi diri dalam menyerlahkan citarasa fesyen musim ini.
Selain keselesaan dan pakaian santai yang telah menjadi pilihan selama beberapa musim dan berpandukan gaya 'pandemic-stay-home', penggayaan ini menyampaikan apa yang diperlukan oleh pelanggan pada waktu ini.
Gaya dan fesyen berubah dengan pantas untuk disesuaikan dengan pilihan gaya hidup selepas pandemik. Daripada peningkatan terhadap populariti pakaian aktif dan 'fit wear' hingga kepada keperluan mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan, permintaan kini menuju ke arah fesyen yang mempunyai nilai-nilai terapeutik.
Ini merupakan sebahagian daripada kempen bersepadu AEON Cherish yang mempromosikan ketabahan dan kesyukuran serta mendorong rakyat Malaysia untuk menghormati dan menghargai apa yang paling penting dalam kehidupan ini.
Kerjasama yang sungguh menarik ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi AEON, Sunny Setiawan dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran, Low Ngai Yuen serta jemputan khas media dan para pempengaruh.
Terdapat juga demonstrasi tambahan di lokasi yang merupakan gabungan idea musim ini bersama rakan solek, Shiseido.
Sebanyak 100 pasang koleksi akhir tahun istimewa Scarlet x Steven Sunny yang merupakan edisi terhad buatan tangan ini boleh didapatkan secara dalam talian atau pun di AEON Taman Maluri, Shah Alam dan Bandar Utama dengan harga yang berpatutan.
Sementara itu, Steven mengucapkan terima kasih kepada AEON atas usaha untuk memberikan kepada pelanggan apa yang mereka inginkan di masa yang mencabar seperti ini.
Steven Sunny merupakan seorang pakar fesyen yang terkenal dan serba boleh yang juga seorang jurusolek yang telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.
Walaupun beliau menamatkan pengajian dalam bidang cat minyak, Steven Sunny adalah pereka pakaian dan fesyen yang dikenali dan terkenal untuk skrin dan pentas.
Sempena pelancaran itu, pelanggan berpeluang memenangi baucar AEON bernilai RM500 seorang dengan berkongsi gambar terbaik mereka memperagakan jenama Scarlet di Instagram mulai sekarang hingga ke 31 Disember 2021. - DagangNews.com