Jetson lantik Tengku Ibrahim Farihaddin pengerusi syarikat, Tunku Nooruddin timbalan pengerusi | DagangNews Skip to main content

Jetson lantik Tengku Ibrahim Farihaddin pengerusi syarikat, Tunku Nooruddin timbalan pengerusi

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Okt - Penyedia perkhidmatan bagi sektor pembinaan dan perkilangan, Kumpulan Jetson Berhad mengumumkan pelantikan Dato' Tengku Ibrahim Farihaddin Dato' Tengku Feissal, 48, sebagai Pengerusi kumpulan berkuat kuasa hari ini.

 

Datuk Teh Kian An, 75, pengasas Kumpulan Jetson yang menguasai 6.10% kepentingan meletak jawatan Pengerusi Eksekutif atas sebab-sebab kesihatan.

 

 

tengku ibrahim
                 Tengku Ibrahim Farihaddin

 

 

Menurut makluman di Bursa Malaysia, Tengku Ibrahim yang merupakan Kerabat Sultan Kelantan, juga memegang jawatan Timbalan Pengerusi di Koperasi Sri Nilam Berhad sejak tahun 2007 dan Pengarah di kedua-dua Zaman Anggun Sdn. Bhd. dan Anggun Jati Sdn. Bhd. sejak 2012.

 

Beliau juga merupakan Pengerusi Eksekutif di Malbest Sdn. Bhd. sejak 2022; Pengarah di Anngun Syukur Resources sejak tahun 2022; dan Bendahari di Koperasi Kerabat DRaja Kelantan Al-Muhammadi Berhad sejak 2018.

 

Tengku Ibrahim pernah berperanan sebagai Eksekutif Pentadbiran Mechmar Corporation Berhad dari 1999-2000 dan Beel Boiler Industries, PLC di United Kingdom pada tahun 1998-1999.

 

Tunku Datuk Nooruddin
                 Tunku Datuk Nooruddin

 

 

Kumpulan Jetson turut mengumumkan pelantikan Tunku Datuk Nooruddin Tunku Dato' Seri Shahabuddin, 59, sebagai Timbalan Pengerusi syarikat.

 

Tunku Nooruddin memiliki pengalaman luas dalam industri Minyak, Gas & Tenaga termasuk berkhidmat Esso Malaysia Berhad Hilir (Exxon Mobil), di mana beliau berjaya menguruskan pengedaran produk penapisan dan akaun Negara Kerajaan dengan berkesan.

 

Beliau merupakan Pengarah Eksekutif Reach Energy Berhad dan Baker Hughes INTEQ (BHI) dan anak syarikat lain bagi Baker Hughes Group of Companies di Malaysia yang terlibat dalam aktiviti penerokaan dan pembangunan huluan Minyak & Gas (O&G). Tanggungjawab utama beliau adalah untuk memastikan bekalan barangan dan perkhidmatan yang selamat untuk kedua-dua pengendali O&G tempatan dan antarabangsa di Malaysia. Sebagai penyedia perkhidmatan berlesen PSC kepada Petronas, beliau turut menyelia penglibatan BHI Malaysia dalam aktiviti antarabangsa.

 

Beliau kini merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Reneuco Berhad.

Datuk Mohd Efendi Omar
            Datuk Mohd Efendi Omar

 


Lantikan ketiga ialah Datuk Mohd Efendi Omar, 40, sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif yang merupakan  Ketua Pegawai Operasi di Media Prima Berhad sejak 2020.

 

Sebelum itu, beliaui pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 99 Media & Advertising Sdn. Bhd. dari tahun 2014 hingga tahun 2020 dan sebagai Pengurus Besar Kamal Nasir Holdings dari tahun 2007 hingga tahun 2014. Selain itu, Datuk Mohd Efendi juga merupakan salah seorang ahli Lembaga Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak tahun 2021. - DagangNews.com