Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Dis - JF Apex Securities Bhd. memulakan liputan terhadap Aurelius Technologies Bhd. (ATech) dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) pada RM1.74 sesaham.
Saham-saham syarikat pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) ini mencatatkan lebih langganan sebanyak 20.27 kali sebelum penyenaraian kumpulan di Papan Utama Bursa Malaysia esok.
Nilai wajar yang diberikan firma itu kepada saham ATech adalah 28% lebih tinggi harga tawaran awam permulaannya pada RM1.36.
Penganalisis JF Apex, Nursuhaiza Hashim berkata, penyertaan kumpulan dalam segmen komponen semikonduktor secara dasarnya, telah menyuntik kelebihan kepada harga sahamnya.
Ini kerana katanya, ia memberi pertumbuhan kukuh kepada ATech berbanding pemain EMS lain yang tertumpu kepada produk elektronik pengguna seperti segmen perkakas rumah.
"Kumpulan juga mematuhi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kurang terdedah kepada pertikaian pekerja asing kerana mengambil 100% pekerja tempatan, sedangkan pemain lain bergantung kepada tenaga buruh asing.
"Selain itu, ia juga memiliki asas pelanggan yang pelbagai dengan 5 pelanggan teratas menyumbang kira-kira 90% kepada hasil.
"Pada masa sama, kemudahan pengeluaran baharu yang sedang dijalankan dapat memacu pertumbuhan masa hadapan dengan kapasiti tahunan meningkat sebanyak 198.7% kepada 5.87 juta menjelang akhir 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.
ATech merupakan pembekal EMS bagi produk perindustrian elektronik menerusi anak syarikatnya, BCM Electronics dan menawarkan penyelesaian EMS hujung ke hujung daripada pemasangan papan volum tinggi sehingga produk siap.
Kumpulan beroperasi di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah dan mempunyai pengalaman selama 28 tahun dalam industri.
Perniagaan ATech kini berkembang merentasi 3 benua iaitu Asia Pasifik, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
ARTIKEL BERKAITAN: IPO saham Aurelius Technologies Berhad terlebih langganan sebanyak 20.27 kali
Lima pelanggan utama jangka panjangnya di peringkat global dan tempatan dikenali sebagai Pelanggan A, B, C, D dan E yang datang dari pelbagai negara seperti Malaysia, AS, Singapura dan Jerman dengan kebanyakannya telah berurusan dengan ATech bagi tempoh 10 hingga 28 tahun.
Dalam tempoh 7 bulan bagi tahun kewangan 2022, kebanyakan pendapatannya disumbangkan menerusi Pelanggan A iaitu 22.8% daripada jumlah pendapatan.
Sehubungan itu, menurut Nursuhaiza, permintaan daripada para pelanggan ini akan terus kekal kukuh pada masa hadapan dengan mengambil kira hubungan jangka panjang.
"Malah, kami juga berpendapat, hubungan ATech dengan pelanggan sedia ada juga kukuh dan teguh," jelas beliau. - DagangNews.com