Jika Johari Ghani sertai Kabinet selepas PRU15, apa masa depan Media Prima? - soal penganalisis | DagangNews Skip to main content

Jika Johari Ghani sertai Kabinet selepas PRU15, apa masa depan Media Prima? - soal penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Okt - 'Terkejut' dengan dengan laporan yang berlegar-legar mengenai pembubaran Parlimen antara 7 hingga 13 Oktober lalu, menyaksikan harga saham Media Prima Bhd. melonjak sehingga 5.8%.

 

Berdasarkan data sebelum ini, CGS-CIMB Research mendapati, harga sahamnya bagaimanapun meningkat hanya dalam satu daripada empat pilihan raya lalu sejak kumpulan media gergasi itu dibentuk pada akhir 2003.

 

"Walaupun gabungan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), ini tidak bermakna Media Prima dilihat sebagai penerima manfaat," jelas penganalisisnya, Kamarul Anwar Kamaruddin dalam nota kajiannnya hari ini.

 

Beliau sebaliknya mengulangi pendiriannya bahawa syarikat media perlu (dan dilihat sebagai) bebas daripada campur tangan politik, dengan integriti kewartawanan yang tinggi, untuk terus hidup, memandangkan orang awam sudah menjadi semakin cakna.

 

Menurutnya, apabila BN menguasai majoriti dalam Parlimen lalu, gabungan itu mengharamkan penerbitan dan menyekat portal berita yang melaporkan berita yang tidak menguntungkan kerajaan.

 

"Terdapat juga persoalan mengenai hala tuju jangka panjang kumpulan ini jika pemegang saham kedua terbesar Media Prima, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ahli politik dari UMNO, dilantik dalam Kabinet sekiranya BN memenangi PRU15.

 

"Dalam hal ini, mungkin ada risiko beliau terpaksa menyerahkan pemilikannya dalam Media Prima, atau sekurang-kurangnya, tidak lagi menjadikan perniagaan kumpulan itu sebagai keutamaannya," katanya.

 

 

Johari Ghani
DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI

 

 

Media Prima kini dikuasai taikun, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang memiliki pegangan 31.9% diikuti Johari Ghani (20.1%) dan Mitsubishi UFJ Financial Group Inc. (10.2%).

 

Media Prima mengambil alih status penyenaraian Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) pada 22 Oktober 2003, selepas pemegang saham TV3 dan New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP) sebelum ini bergelut dengan beban hutang yang melumpuhkan dan terpaksa menghentikan pelaburan medianya.

 

Kamarul Anwar berkata, ekonomi dan sektor korporat Malaysia mempunyai hubungan yang erat dengan koridor kuasa pentadbiran.

 

Situasi itu, katanya, telah meningkatkan harga saham syarikat tersenarai awam yang mempunyai pemegang saham dikaitkan dengan parti politik yang dijangka memenangi pilihan raya akan datang, dengan ledakan berterusan selama beberapa bulan selepas hari pengundian.

 

"Walaupun Media Prima tidak lagi dikawal oleh UMNO, pemegang saham kedua terbesarnya, Johari Ghani, adalah ahli Majlis Tertinggi parti itu," tambahnya.

 

 

media prima

 

 

Mengulas lebih lanjut, menurutnya, berdasarkan pilihan raya lalu, hanya terdapat 25% peluang untuk saham Media Prima melonjak lebih jauh menjelang PRU15.

 

Ini kerana harga sahamnya semakin terhakis selepas Parlimen dibubarkan pada 4 Mac 2004, sebelum PRU11.

 

Namun, harga saham Media Prima goyah ketika menghampiri PRU12 pada Mac 2008, berikutan kebimbangan terhadap krisis kewangan global akan merugikan ekonomi Malaysia.

 

"Tetapi, kini dunia sedang menghadapi kemungkinan kemelesetan yang lain, dan kelembapan ekonomi global ini kemungkinan akan mengehadkan kenaikan harga sahamnya, seperti yang berlaku menjelangnya pilihan raya pada 2008.

 

"Pelabur secara amnya mengetepikan saham Media Prima sekitar PRU14, kerana ia sedang bergelut dengan kerugian ketika itu. 

 

"Hanya sekitar masa PRU13 saham mencatatkan keuntungan, lebih 50% - sebulan selepas tarikh pengundian," katanya. 

 

Isnin lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

 

Perdana Menteri membuat pengumuman itu setelah kerajaan selesai membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu yang menyaksikan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.

 

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, Media Prima mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM20.8 juta, meningkat 24% berbanding RM16.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan bersih bagi suku kedua tahun kewangan dikaji pula meningkat sebanyak 23% kepada RM15.6 juta daripada RM12.7 juta.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Media Prima dengan harga sasaran tidak berubah pada 51 sen sesaham. - DagangNews.com