Jika usaha penstrukturan gagal, MAG bubar - Khazanah | DagangNews Skip to main content

Jika usaha penstrukturan gagal, MAG bubar - Khazanah

Malaysia Airlines berhadapan satu demi satu tragedi sejak MH370.

SINGAPURA 8 Okt. - Syarikat induk Malaysia Airlines memberi amaran bahawa Khazanah Nasional Berhad akan menghentikan suntikan dana dan memaksanya melalui proses penggulungan sekiranya perbincangan penstrukturan dengan syarikat pemberi sewa gagal mencapai kata putus. 

Menurut Reuters, peringatan itu dikeluarkan Malaysia Aviation Group (MAG), meningkatkan kepentingan dalam perbincangan bagi merombak kewangan yang dikenali sebagai Pelan A dan menetapkan pelan alternatif untuk mengalihkan dana ke unit syarikat penerbangan, Firefly.  

"Sekiranya Pelan A gagal, pemegang saham (Khazanah) akan menghentikan dana kepada MAG sekali gus mencetuskan proses penggulungan atau pembubaran MAG," menurut dokumen yang dilihat Reuters dan disahkan oleh enam sumber yang rapat kepada perkara berkenaan.  

Bagaimanapun, Khazanah tidak memberi sebarang komen berhubung isu tersebut. 

Dalam emel kepada Reuters semalam, MAG berkata, pelan penstrukturan semula adalah penting untuk kembali menjadi organisasi yang lestari dan menguntungkan pada masa hadapan. 

Berdasarkan dokumen terkini di bawah senario Pelan B pula, Khazanah akan menyuntik dana dalam Firefly bagi memulakan operasi pesawat baharu di Kuala Lumpur dengan skala kecil dan memberi fokus kepada perkhidmatan domestik.  

Syarikat penerbangan tambang rendah itu beroperasi dengan 12 pesawat turboprop berkembar terutamanya di dalam negara merupakan anak syarikat milik penuh MAG. 

Menurut dokumen tersebut, Firefly akan memperoleh pesawat berbadan sempit dan seterusnya pesawat berbadan lebar daripada pasaran dalam senario Pelan B. 

Selepas Malaysia Airlines bergelut dengan pelbagai tragedi terutama MH370 dan MH17, Khazanah menyuntik dana sebanyak RM6 bilion sebagai langkah pemulihan, tetapi pandemik COVID-19 semakin memburukkan keadaan syarikat penerbangan nasional itu.  

Sejak tahun lalu, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari rakan kongsi untuk syarikat penerbangan ini tetapi perlu menanggung kos yang tinggi dan tenaga kerja yang ramai. 

Minggu lalu, Khazanah dilaporkan menyokong usaha penstrukturan Malaysia Airlines dan jika langkah itu ternyata gagal, Khazanah perlu menilai semula pilihan yang ada untuk tempoh seterusnya. - Dagangnews.com