JLand Group, Cenergi laksana projek solar dan rumusan kecekapan tenaga bernilai RM140 juta | DagangNews Skip to main content

JLand Group, Cenergi laksana projek solar dan rumusan kecekapan tenaga bernilai RM140 juta

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - JLand Group (JLG) dan Cenergi SEA Bhd memeterai usaha sama (JV) untuk melabur sejumlah RM140 juta bagi melaksanakan sistem tenaga solar atas bumbung dan rumusan cekap guna tenaga bagi pengguna komersial dan perindustrian (C&I) di semua taman perindustrian JLG di Johor, meliputi kawasan seluas 4,479 hektar.  

 

Menerusi usaha sama strategik ini, JLG dan Cenergi akan secara bersama melabur, memasang, mengendalikan operasi dan menyenggarakan peralatan solar atas bumbung dan melaksanakan rumusan cekap guna tenaga. 

 

Pelaburan fasa pertama dijangka menjana tenaga elektrik hijau kira-kira 13,000 megawatt sejam (MWh) dan mengurangkan emisi karbon sebanyak 8,000 tan setahun daripada para pengguna C&I. 

 

Pengarah, Hartanah dan Infrastruktur Johor Corporation dan Timbalan Pengerusi JLG, Datuk Akmal Ahmad berkata, dengan jangkaan industri yang lebih tinggi, pihaknya sedar kepentingan menjalin kerjasama untuk mencipta nilai baharu dan menjana pulangan jangka panjang menerusi ekosistem hartanah dan infrastruktur JLG. 

 

Katanya, kerjasama dengan Cenergi terus menggiatkan lagi penggunaan sumber dan rumusan dalam portfolio Energy-as-a-Service (EaaS) untuk taman-taman perindustrian mereka.

 

"Dengan meningkatkan capaian kepada penyelesaian tenaga lestari di lokasi menerusi model perbelanjaan modal sifar,  JLG bertekad untuk menyokong para penyewa dalam usaha memenuhi aspirasi sektor perindustrian untuk mencapai pertumbuhan lestari, sambil memenuhi keperluan sebagai perniagaan yang bertanggungjawab.  

 

"Kami terus komited untuk memastikan para penyewa kami dapat melaksanakan amalan terbaik untuk mengoptimumkan keupayaan operasi di taman-taman perindustrian kami, iaitu Taman Perindustrian Senai, Taman Perindustrian Tebrau, Taman Perindustrian Pasir Gudang dan Taman Perindustrian Tanjung Langsat," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

jland
(Dari kiri) Pengurus Penyelarasan Program Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Perubahan Iklim, Niclas Svenningsen, Datuk Akmal Ahmad, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Hairol Azizi Tajudin dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Ikli, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika majlis usaha sama antara JLG dan Cenergi baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin berkata, rumusan solar atas bumbung akan membantu pemilik kilang dan perniagaan di taman-taman perindustrian tersebut untuk menjimatkan kos bil elektrik sehingga 30%, manakala penyelesaian cekap guna tenaga sedia menghasilkan penjimatan 10% hingga 20% lagi. 

 

Katanya, syarikat-syarikat perniagaan akan dapat mengurangkan jejak karbon masing-masing dengan ketara dan mencapai tahap Indeks Tenaga Bangunan (BEI) yang optimum, selaras dengan syarat baru Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) 2023. 

 

"Langkah ini memang diambil tepat pada masanya dalam usaha Malaysia mencapai emisi bersih sifar seawal 2050," katanya. 

 

Sistem solar atas bumbung akan dibangunkan di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Penggunaan Sendiri (SELCO), yang merupakan antara inisiatif oleh Kerajaan untuk mencapai sasaran 31% bagi Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) dalam campuran sumber tenaga negara menjelang 2025. 

 

Kawasan perindustrian, terutamanya yang terlibat dalam industri berat, dikenal pasti sebagai punca utama emisi karbon dioksida global, lantas mendorong usaha lebih gigih dilaksanakan para peserta perindustrian untuk mengurangkan emisi. - DagangNews.com