JLand, MSA Reources jalin kerjasama bina Rangkaian Lebuh Raya Digital hubungkan Sedenak Tech Park bernilai RM66 juta | DagangNews Skip to main content

JLand, MSA Reources jalin kerjasama bina Rangkaian Lebuh Raya Digital hubungkan Sedenak Tech Park bernilai RM66 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun - JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MSA Resources Sdn Bhd (MSAR) bagi menghubungkan terus Sedenak Tech Park (STeP) ke Rangkaian Digital Lebuh Raya dengan pelaburan bernilai RM66 juta.

 

Skop kerjasama tersebut termasuk membina ketersambungan Pusat Data Saling Terhubung (DCI) di dalam dan luar SteP, di mana pada masa ini rangkaian tersebut telah sedia untuk dihubungkan kepada pusat data Singapura menerusi dwicapaian di Tambak Johor dan Link Kedua Tuas, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pembinaan talian tempatan ini dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini dan bakal menyediakan saluran nilai tambah neutral tidak dimiliki syarikat pembawa di samping memberikan keupayaan transmisi data yang lebih baik di seluruh negara, meliputi pusat data berskala besar utama.

 

Menerusi usaha sama ini, kedua-dua pihak bermatlamat untuk mengukuhkan kedudukan STeP sebagai pusat data serantau di Asia Tenggara. 

 

Objektif  MSA Resources di bawah MoU ini adalah menyediakan hubungan dari STeP ke negara-negara jiran dan secara global, menerusi sistem kabel bawah laut baharu dan disambungkan terus ke Johor dengan memanfaatkan kedudukan geografinya yang menghubungkan lalu lintas ke timur dan barat menerusi kedua-dua pesisir pantainya.

 

Pengarah Hartanah dan Infrastruktur, Johor Corporation dan Timbalan Pengerusi Jland Group, Datuk Akmal Ahmad berkata syarikat itu mengoptimumkan dan menyepadukan sepenuhnya hartanah yang dimajukan mereka ke dalam rantaian nilai pusat data dengan memanfaatkan peluang daripada pembinaan gentian optik.

 

“Kerjasama kami dengan MSA Resources meluaskan keupayaan sedia ada STeP dengan melengkapkan hubungan dari sempadan ke sempadan, meningkatkan kepantasan dan pilihan rangkaian bagi para pengendali.

 

“Langkah ini memenuhi wawasan perkhidmatan STeP untuk menjadi hab pusat data yang pesat membangun dan berkembang maju bagi Gerbang Selatan Malaysia, dengan menyediakan hubungan dengan tahap kependaman rendah,” katanya.

 

Pengarah Urusan MSA Resources, Saiful Husni menambah bahawa kemunculan pusat data berskala besar baharu di Johor membuka peluang tepat pada masanya. 

 

“STeP sedang berkembang pantas menjadi sebuah pembangunan bertaraf dunia yang memartabatkan Johor sebagai hab serantau baharu untuk pusat data. 

 

“Di samping itu, semua hab pusat data utama di Semenanjung Malaysia akan dihubungkan sepenuhnya kepada rangkaian kami menjelang akhir 2023,” ujar beliau sambil menambah bahawa RM66 juta akan dilabur dalam projek itu.

 

Rangkaian Digital Lebuh Raya adalah sejajar dengan rancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA), di mana kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Semenanjung Malaysia akan mempunyai akses kepada 4,400 Titik Saling Terhubung (POI). -DagangNews.com