Johor catat kediaman tidak terjual tertinggi di Malaysia bagi suku kedua 2023 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Johor catat kediaman tidak terjual tertinggi di Malaysia bagi suku kedua 2023 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Johor mencatatkan kediaman tidak terjual tertinggi di Malaysia pada suku kedua tahun ini, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Johor mencatatkan 4,717 unit kediaman tidak terjual diikuti Selangor sebanyak 4,307 unit, Perak (3,333 unit), Kuala Lumpur (3,173 unit) dan Pulau Pinang sebanyak 2,901 unit.

 

Katanya, dari segi julat harga, kediamaan bernilai RM200,000 hingga RM300,000 merupakan kediaman tidak terjual tertinggi iaitu 4,262 unit, diikuti hartanah berharga melebihi RM1 juta pada 4,045 unit dan hartanah berharga antara RM300,000 hingga RM400,000 pada 3,811 unit.

 

"Hartanah mampu milik berharga di bawah RM500,000 membentuk lebih separuh daripada kediaman tidak terjual pada suku kedua tahun ini, menyumbang 52% daripada jumlah kediaman tidak terjual," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Pulau Pinang dan Johor bagaimanpun menunjukkan aliran menurun bagi kediaman tidak terjual pada suku kedua tahun ini berbanding negeri-negeri lain.

 

Katanya, kediaman tidak terjual di Selangor dan Kuala Lumpur bertambah baik manakala kediaman tidak terjual di Perak semakin teruk.

 

"Aliran menurun kediaman tidak terjual di Malaysia adalah sejajar dengan tahap inventori syarikat hartanah yang lebih rendah kerana syarikat hartanah telah secara aktif mengewangkan inventori dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

"Pengewangan inventori adalah bagi menjana aliran tunai di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar akibat pandemik COVID-19," katanya.

 

MIDF Research berkata, sebelum ini pasaran hartanah dilanda empat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan setiap kenaikan 25bps membuatkan bayaran pinjaman bulanan meninkat antara RM60 hingga RM70 bagi pinjaman perumahan RM500,000.

 

"Kami berpendapat bahawa OPR yang tidak berubah seharusnya memberi petanda yang baik untuk pemulihan dalam permintaan untuk hartanah untuk baki 2023 dan 2024," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menaik taraf penarafan sektor perumahan kepada 'positif' berbanding 'neutral' berdasarkan prospek yang bertambah baik bagi sektor hartanah dan tahap inventori syarikat hartanah.

 

Selain itu katanya, OPR tidak berubah adalah positif kepada syarikat hartanah kerana ia menyokong pemulihan dalam permintaan hartanah. - DagangNews.com