Johore Tin tukar nama kepada Able Global Bhd. | DagangNews Skip to main content

Johore Tin tukar nama kepada Able Global Bhd.

KUALA LUMPUR 26 Jun - Johore Tin Bhd (Johore Tin) telah menerima kelulusan pemegang saham untuk mengubah namanya kepada Able Global Bhd.

 

Dalam kenyataan Jumaat, kumpulan itu berkata perubahan nama itu akan menjadi rasmi selepas berjaya dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, lapor Bernama.

 

Menurutnya, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-20 syarikat itu hari ini, para pemegang saham telah meluluskan lapan resolusi biasa dan satu resolusi khas yang telah dicadangkan.

 

Ini termasuk bayaran fi pengarah berjumlah sehingga RM324,000 bagi akhir tahun fiskal 2020, mengehadkan bayaran manfaat pengarah pada RM75,000 selepas AGM itu: serta pemilihan semula Edward Goh Swee Wang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Datuk Kamaludin Yusoff sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas.

 

Para pemegang saham turut meluluskan pelantikan semula Crowe Malaysia PLT sebagai juruaudit kumpulan.

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan itu berkata, ia turut berhasrat meneroka pembangunan hartanah.

 

“Kami yakin kepelbagaian cadangan ini merupakan langkah tepat untuk pertumbuhan kumpulan memandangkan kami boleh mengembangkan asas pendapatan dengan memasukkan aktiviti pembangunan hartanah, yang bakal mewujudkan sumber hasil dan pendapatan tambahan dan mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan sedia ada,” katanya.

 

Johore Tin terlibat terutamanya dalam pembuatan dan perdagangan pelbagai tin dan bekas lain serta pengeluaran susu dan produk tenusu lain. - DagangNews.com