JP Morgan naikkan penarafan Malaysia kepada 'Neutral' didorong pembaharuan dasar dan pelaburan infrastruktur | DagangNews Skip to main content

JP Morgan naikkan penarafan Malaysia kepada 'Neutral' didorong pembaharuan dasar dan pelaburan infrastruktur

JP Morgan menaikkan taraf penarafan Malaysia kepada Neutral daripada Underweight. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews

KUALA LUMPUR 11 Julai - JP Morgan menaikkan penarafan Malaysia daripada 'Underweight' kepada 'Neutral' didorong beberapa faktor utama termasuk pembaharuan dasar, pelaburan pusat data dan pembinaan infrastruktur.

 

Semakan penarafan oleh JP Morgan ke atas Malaysia itu adalah kali pertama selepas enam tahun dikategorikan 'Underweight'.

 

Ketua Ekuiti Asia-Pasifik JP Morgan(bekas-Jepun/China), Rajiv Batra berkata, semua usaha yang sedang dibuat tahun lalu mula menunjukkan hasil.

 

Beliau berkata, kadar kemajuan di Malaysia amat menakjubkan dengan negara mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negari kasar (KDNK) 4.2% pada suku pertama tahun ini, dan pertumbuhan pendapatan menjejaki sekitar 10% hingga 11%.

 

Prestasi ekonomi yang positif ini memerlukan penilaian semula dan peningkatan seterusnya.

 

"Kita perlu memberi kredit kepada negara," tambah Rajiv dalam temu bual Bersama CNBC baru-baru ini.

 

cnbc
Rajiv Batra dalam temu bual bersama CNBC baru-baru ini.

 

Salah satu langkah berani yang diambil oleh pentadbiran Malaysia ialah memotong subsidi, satu langkah yang sering dianggap kontroversi dan sensitif.

 

Rajiv menyatakan bahawa penjimatan daripada pemotongan subsidi ini diarahkan ke arah penggunaan yang produktif dalam ekonomi, meningkatkan celik huruf, melatih semula tenaga kerja dan melaksanakan dasar gaji progresif.

 

Tambahnya, Malaysia mengambil inspirasi daripada Singapura dalam hal ini.

 

"Wang ini akan digunakan untuk kegunaan produktif dalam ekonomi," kata Rajiv.

 

Peningkatan penarafan Malaysia juga mencerminkan penetapan semula tadbir urus susulan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Kerajaan telah membuat kemajuan besar dalam meluluskan dasar dan pembaharuan penting, termasuk Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan belanjawan ekonomi Madani.

 

Pentadbiran kekal komited kepada penyatuan fiskal tanpa mengorbankan pertumbuhan, menyasarkan kadar pertumbuhan 5%.

 

Perubahan persepsi dalam kalangan pelabur antarabangsa adalah jelas kerana Malaysia telah menyaksikan pelabur asing kembali semula selepas aliran keluar awal.

 

"Kami mengalami (AS$)7 bilion aliran keluar dalam ekuiti Asean tahun ini. Malaysia bermula dengan sekitar (AS$)150 (juta) hingga (AS$)160 juta aliran keluar pada suku pertama, tetapi menyaksikan pulangan (AS$) 200 juta pada suku kedua," kata Rajiv.

 

Sementara itu, ringgit telah mengukuh lebih daripada 2% berbanding dolar AS daripada paras terendah dalam tempoh dua dekad pada Februari.

 

"Orang ramai sedang rancak ke Malaysia dan bertanya di mana mereka harus melabur," tambahnya.

 

Malaysia, yang telah jatuh dari radar untuk ramai pelabur asing, kini menarik perhatian sekali lagi.

 

Salah satu sebab minat yang diperbaharui ini adalah potensi Malaysia sebagai hab teknologi.

 

"Wang asing mula kembali ke Malaysia," kata Rajiv sambil menyatakan minat dalam sektor seperti pembuatan cip di Pulau Pinang, pusat data, kenderaan elektrik (EV), tenaga hijau dan projek solar.

 

Pelabur asing mengiktiraf pelbagai tema dan sektor yang ditawarkan oleh Malaysia.

 

Memandangkan permodalan pasaran Malaysia yang besar, setanding dengan Singapura, Indonesia dan Thailand, ia menjadi destinasi yang lebih menarik untuk pelaburan asing.

 

"Pelabur asing mengambil langkah kecil dan melabur wang," katanya, walaupun paras pemilikan asing kekal hanya pada 19%, belum lagi memuncak pada paras 35% hingga 40%.

 

Rajiv berkata peningkatan taraf JP Morgan mencerminkan gabungan pertumbuhan ekonomi, pelaksanaan dasar yang berkesan dan tadbir urus yang lebih baik, menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menjanjikan. - DagangNews.com