JTI Malaysia diiktiraf Majikan Terbaik 2023 bagi tahun kesembilan berturut-turut | DagangNews Skip to main content

JTI Malaysia diiktiraf Majikan Terbaik 2023 bagi tahun kesembilan berturut-turut

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - JTI Malaysia diiktiraf sebagai Majikan Terbaik Global 2023 untuk tahun kesembilan berturut-turut oleh Top Employers Institute.

 

JTI ialah salah satu daripada 15 syarikat yang mendapat pengiktirafan tersebut untuk dasar dan amalan sumber manusia yang cemerlang.

 

JTI juga diiktiraf sebagai Majikan Terbaik untuk lapan tahun berturut-turut.

 

Pengurus Besar JTI Malaysia, Khoo Bee Leng berkata, anugerah tersebut mengiktiraf komitmen berterusan dan pendekatan inovatif syarikat tersebut terhadap kesaksamaan dan kesejahteraan.

 

“Pensijilan ini adalah mesej kepada pekerja dan bakal pekerja kami. Kami akan sentiasa terus maju dan meningkatkan kesejahteraan para pekerja, mendukung kepelbagaian dan memberi peluang yang sama untuk mengembangkan kerjaya mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Salah satu amalan utama syarikat ialah New Ways of Working (NWOW) yang mula dilaksanakan pada 2021.

 

Amalan ini memperkasakan pekerja untuk bekerja dari luar pejabat ke sehingga 50% daripada waktu bekerja yang mengurangkan masa pekerja untuk berulang-alik dan menghadapi kesesakan lalu lintas. 

 

Pekerja juga dapat seimbangkan kehidupan dan kerja terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil sekali gus memberi mereka kelonggaran untuk menyeimbangi komitmen kerja dan keluarga, terutamanya semasa anak-anak kecil yang sedang membesar.

 

Sementara itu, Pengarah Rakyat dan Kebudayaan JTI Malaysia, Karen Chong menyifatkan warga syarikat adalah tulang belakang utama yang meletakkannya pada kedudukan seperti hari ini dan akan menjadi pelapis yang menentukan masa hadapan.

 

“Kami menjadi 'Majikan Terbaik' kerana para pekerja kami adalah yang terbaik,” katanya. - DagangNews.com