Jualan global MAN Truck & Bus melonjak 37% kepada 116,000 kenderaan pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Jualan global MAN Truck & Bus melonjak 37% kepada 116,000 kenderaan pada FY23

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Pengeluar kenderaan komersial, MAN Truck & Bus mencapai pertumbuhan jualan dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 37% kepada 116,000 unit kenderaan pada tahun kewangan 2023 (FY23), berbanding tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Jualan dan Rumusan Pelanggan MAN Truck & Bus SE, Friedrich Baumann berkata, di samping itu, sebanyak 11,600 enjin terjual, walaupun masih terjejas dengan penurunan permintaan dalam segmen bas ketika pandemik COVID-19.

 

"Selepas beberapa tahun yang sangat mencabar, kami kembali ke jalan menuju kejayaan. Kami berjaya memenuhi kehendak pasaran dengan portfolio produk inovatif kami dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan.  

 

"Ini merupakan salah satu sebab mengapa kami berjaya mencatat jualan cemerlang pada FY23. Disebabkan prestasi pasukan yang kukuh merentas semua bidang syarikat, kami dapat memenuhi permintaan yang sangat tinggi dengan cara terbaik dan menjual lebih banyak kenderaan serta enjin berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, MAN berkata, jualan trak melonjak sebanyak 44% kepada 83,700 unit berbanding tahun sebelumnya, selain jualan bas juga meningkat sebanyak 19% kepada sekitar 5,700 unit. 

 

Katanya, semua segmen mencatat pertumbuhan kukuh, dengan pasaran bas dan koc khususnya, yang merosot akibat pandemik, pulih dengan ketara, sementara jualan koc meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada lebih 1,100 kenderaan.

 

"Memandangkan MAN dapat memenangi tender penting dalam perniagaan bas bandar dan arah aliran ke arah kenderaan elektrik bateri berterusan tanpa henti, jualan bas elektrik meningkat lagi. 

 

 

MAN

 

 

"Sejumlah 263 bas bandar elektrik telah dijual pada 2022 dan angka ini meningkat kepada 771 kenderaan menjelang 2023," katanya.

 

Menjelang 2030 katanya, separuh daripada semua trak MAN baharu dan kira-kira 90% daripada semua bas bandar baharu akan mempunyai pemacu elektrik bateri, yang mana kerja-kerja juga sedang dijalankan untuk membina koc elektrik masa depan.

 

 

MAN

 

 

"Perniagaan van juga meningkat dengan ketara. MAN Truck & Bus melebihi angka jualan pra-COVID-19 dan menyerahkan lebih banyak van berbanding sebelum ini. Sekitar 26,600 van diserahkan kepada pelanggan, peningkatan sebanyak 23%," katanya.

 

 

MAN

 

 

Tambahnya, perniagaan enjin luaran adalah paling baik dalam sejarahnya selepas 2014, yang mana sejumlah 11,600 enjin dijual, lebih separuh daripadanya kepada pelanggan dalam sektor pertanian, untuk digunakan dalam traktor atau penuai gabungan.  - DagangNews.com