Jualan hartanah dijangka meningkat 10% jika tiada PKP kedua | DagangNews Skip to main content

Jualan hartanah dijangka meningkat 10% jika tiada PKP kedua

jualan hartanah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Prestasi jualan sektor hartanah negara dijangka meningkat sebanyak 10% sekiranya perintah berkurung tidak dilakukan semula di seluruh negara.

 

RHB Investment Bank dalam nota kajian berkaitan sektor hartanah hari ini berkata, jangkaan pemulihan itu bagaimanapun boleh menyusut jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

 

"Setelah sektor hartanah mengalami penurunan dengan anggaran 20% hingga 25% pada tahun 2020, kami menjangkakan penjualan hartanah akan meningkat sekitar 10% berbanding tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, jika terdapat PKP 2.0 dalam jangka masa dua hingga tiga bulan lagi, kami menjangkakan penjualan hartanah akan menurun sebanyak 10% lagi pada tahun 2021," jelas RHB Investment Bank.

 

Dalam nota kajian itu, Sime Darby Property dan Mah Sing menjadi pilihan RHB Investment Bank dalam sektor hartanah.

 

Ujar RHB Investment Bank, Sime Darby Property berkemungkinan akan memperoleh peningkatan yang tinggi dalam jualan hartanah memandangkan kempen pemasaran yang dijalankan dilihat kompetitif.

 

Bagi Mah Sing pula, inisiatif dan usaha yang dilakukan dalam mempelbagaikan cabang perniagaan menjadi tarikan buat RHB Investment Bank.

 

Penglibatan Mah Sing dalam pembuatan sarung tangan getah dijangka mampu meningkatkan pendapatan kumpulan sekitar 60% tahun ke tahun pada 2021 bermula separuh kedua 2021 dan kehadapan.

 

RHB Investment Bank mengekalkan penarafan 'neutral' bagi sektor hartanah.

 

Bagi Sime Darby Property dan Mah Sing, RHB Investment Bank meletakkan saranan 'beli' saham kedua-dua syarikat tersebut dengan harga sasaran sesaham (TP) masing-masing bernilai RM0.88 dan RM1.09. - DagangNews.com