Jualan hartanah kukuh, pusat data tingkatkan sentimen saham Sime Darby Property - RHB IB | DagangNews Skip to main content

Jualan hartanah kukuh, pusat data tingkatkan sentimen saham Sime Darby Property - RHB IB

Gambar Sime Darby Property
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Jualan hartanah yang kukuh di samping liputan berita yang meluas mengenai penglibatan dalam perjanjian pembinaan pusat data diramalkan bakal meningkatkan sentimen bagi saham Sime Darby Property Berhad.

 

RHB Investment Bank berkata, penurunan harga saham baru-baru ini telah membuka peluang keemasan untuk pelabur membeli saham syarikat ini.

 

"Saranan Beli' dikekalkan dengan harga sasaran (TP) mencecah RM2, potensi kenaikan harga saham 45% dan kadar hasil dividen kira-kira 3%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment berkata, untung bersih 2Q24 dilihat melangkaui jangkaan, walaupun selepas menjual tanah bukan teras, prestasi operasi Sime Darby Property kelihatan agak kukuh, dipacu oleh jualan hartanah dan bil yang tinggi. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Sime Darby Property melonjak 127.9% pada 2QFY24 didorong jualan kukuh hartanah

 

Kata firma itu, hal ini membantu mengimbangi impak daripada pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 17 (MFRS17) membabitkan jaminan 5 tahun akibat penjualan sebuah menara pejabat di London. 

 

"Disebabkan oleh keputusan kukuh pada separuh pertama 2024 (1H24), kami menaikkan perolehan tahun kewangan 2024-2026 (FY24-FY26) masing-masing sebanyak 10%, 14%, dan 10%. 

 

"Jualan belum dibil mencecah RM3.7 bilion berbanding RM3.6 bilion semasa suku sebelum ini," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, sasaran jualan Sime Darby Property bagi FY24 dinaikkan kepada RM3.5 bilion daripada RM3 bilion. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, jualan hartanah 2Q24 mencapai paras RM1.14 bilion berbanding 1Q24, RM956 juta. 

 

"Segmen perindustrian menyumbang 35% pada jumlah jualah sebanyak RM2.1 bilion pada 1H24, diikuti oleh segmen kediaman pangsapuri dan kediaman bertanah masingmasing pada 25% dan 21%. 

 

"Setakat 11 Ogos, Sime Darby Property mencatat jumlah tempahan bernilai RM2.2 bilion yang akan ditukarkan kepada jualan berkontrak," ujarnya. - DagangNews.com