KUALA LUMPUR 24 Jun - RHB Investment Bank (RHB Investment) menaikkan ramalan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) 2024 kepada 740,000 buah berbanding 625,000 buah sebelum ini.
Menurut firma penyelidikan itu, semakan menaik sebanyak 18% itu disebabkan TIV lima bulan pertama 2024 (5M24) mencatat pertumbuhan 8% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, unjuran sebelum ini terlalu konservatif memandangkan prestasi TIV yang lebih tinggi daripada jangkaan berjaya dicapai setakat ini, disebabkan oleh jualan kereta Perodua yang lebih kukuh (+19.6%).
"Kami bertindak meningkatkan andaian jualan Perodua untuk 2024 kepada 330,000 unit daripada 250,000 unit," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jelas RHB Investment, unjuran TIV 2024 yang disemak semula ini menyamai anggaran TIV Persatuan Antomotif Malaysia (MAA) bagi tahun ini.
"Hal ini menandakan TIV tahun ini menurun 7.5% YoY selepas mencapai prestasi pecah rekod selama dua tahun berturut-turut kerana kami menjangkakan jualan Perodua tahun ini mendatar YoY, menakala TIV selain Perodua dijangka menurun YoY.
"Pada pendapat kami, penurunan ketara akan dilihat pada separuh kedua 2024 (2H24) apabila pesanan tertunggak mula dipenuhi dan jumlah jualan turun ke paras normal.
"Untuk makluman, tanpa mengira Perodua, TIV YTD hanya bertumbuh 0.7% YoY," ujarnya.
Sementara itu, meskipun anggaran TIV 2024F disemak naik, namun RHB Investment berpandangan bahawa sektor ini akan mencatat pertumbuhan perolehan negatif tahun ini, selaras dengan fasa kitaran menurun sektor ini.
"Malah, sektor ini kekurangan faktor pemacu untuk mengekalkan TIV pada paras semasa, maka prestasi TIV yang lebih lemah dijangkakan untuk 2H24," jelasnya yang mengekalkan saranan Neutral kepada sektor automotif dengan dengan Bermaz Auto (BAUTO) sebagai syarikat pilihan utama.
Dalam pada itu, katanya, Perodua dan Toyota/Lexus memaparkan pertumbuhan bulan ke bulan (MoM) yang lebih kukuh iaitu sebanyak 34.7% dan 5.2% pada Mei 2024 manakala jumlah jualan Proton dan Honda jatuh 8.0% dan 2.5% MoM.
Jelas RHB Investment, jualan YTD Perodua yang mantap (+19.6% YoY) menaikkan bahagian TIV untuk pengeluar kereta kebangsaan kepada 63% daripada 60% pada tahun 2023," katanya.
"Prestasi MoM yang lebih kukuh ini tidak mengejutkan kerana kenaikan dijangkakan selepas musim perayaan Aidil Fitri," ujarnya. - DagangNews.com